Firman Allah Taala Yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya
mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya."
(Surah Al-A'raf: ayat 34)

Friday, January 18, 2013

Sombong pisahkan Muslim daripada syurga


RASULULLAH tidak pernah ketinggalan memberi peringatan kepada umatnya betapa buruk dan kejinya sifat sombong dan takbur dalam kehidupan ummah sejagat.

Sabda Baginda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya mempunyai sifat sombong walaupun sebesar biji sawi.” (Riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Baginda pernah bersabda bermaksud: “Manusia yang jahat ialah manusia yang sombong, keras kepala dan melampaui batas. Orang yang sombong dan keras kepala itu lupa kepada Yang Maha Perkasa lagi Maha Tinggi.

“Manusia yang jahat itulah manusia yang keras kepala dan yang sombong. Dia lupa kepada Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi. Manusia yang jahat ialah manusia yang lalai dan lupa.

“Dia lupa kepada kubur dan kehancuran tubuh dalamnya. Amatlah jahat manusia yang sombong dan melampaui batas. Dia lupa kepada permulaan dan kesudahan.” (Riwayat Tirmizi).

Sifat sombong adalah akhlak keji yang menjadi dinding pemisah antara seseorang itu dengan syurga. Sedangkan pintu syurga hanya boleh dibuka dengan anak kunci akhlak yang mulia lagi terpuji.

Antara sebab seseorang itu bersifat sombong dan angkuh kerana memiliki kekuasaan yang tidak terbatas.

Pemimpin sombong akan berusaha mempertahankan kekuasaannya dengan apa cara sekalipun, sama ada dengan memfitnah, mengadu domba dan mengusir, bahkan membunuh setiap orang yang dianggapnya akan mengganggu-gugat kekuasaannya.

Seorang pemimpin sombong sebagaimana dirakamkan al-Quran ialah Firaun. Dia seorang pemimpin zalim, yang memiliki kekuasaan yang tiada terbatas, dapat menguasai secara fizikal atau mental sehingga rakyat memberikan sokongan membabi buta kepadanya.

Akhirnya, Firaun dengan kesombongannya berani mendakwa dan mengaku dirinya Tuhan kepada rakyat bawahannya.

Selain itu, harta benda melimpah ruah kurniaan Allah antara yang menyebabkan seseorang itu bersifat sombong dan takbur.

Harta benda yang banyak inilah yang menyebabkan Qarun lupa diri, lalu bersifat sombong dan takbur hingga mendakwa bahawa harta itu diperoleh melalui usahanya sendirinya.

Akhirnya, Qarun dibinasakan Allah bersama harta kekayaannya sebagaimana kisahnya yang dirakamkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanya disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami bahawa Allah membinasakan sebelumnya daripada umat terdahulu, orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan. Dan ingatlah orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya mengenai dosa mereka (kerana Allah sedia mengetahuinya).” (Surah al-Qasas, ayat 78).

Sifat takbur yang paling buruk ialah apabila seseorang itu tidak mengamalkan ilmu yang dipelajarinya sama ada ilmu agama atau pengetahuan keduniaan yang memberi manfaat.

Oleh kerana ilmu pengetahuan itu adalah hak atau kebenaran, maka orang yang tidak mahu tunduk dan menerima kebenaran itu dengan sendirinya menentang Allah.

Ini kerana kesombongan seseorang itulah yang menghalangnya daripada menerima hidayah Ilahi dan kebenaran al-Quran. Ini sebagaimana berlaku kepada masyarakat Quraish Makkah yang menolak kebenaran dakwah Rasulullah.

Sifat takbur bukan hanya menyerang orang berilmu, bahkan mereka yang banyak amal ibadatnya. Orang beribadat dengan tujuan menarik perhatian orang sekelilingnya dan memikirkan ia satu kelebihan bagi dirinya berbanding orang lain.

Malah, dia juga sering terbawa-bawa dengan kesombongannya apabila beranggapan bahawa semua manusia rosak agamanya dan sesat, hanya dia terselamat dan berpegang teguh dengan agamanya.

Categories:

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...