Firman Allah Taala Yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya
mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya."
(Surah Al-A'raf: ayat 34)

Friday, January 18, 2013

Berdiam diri cara mudah elak fitnah


LISAN atau lidah adalah anggota tubuh manusia terpenting dan menjadi satu daripada nikmat Allah yang wajib disyukuri. Dengan lidah, manusia dapat bertutur kata dan berhubung sesama manusia, arahan kepada haiwan dan menzahirkan sesuatu dalam bentuk perkataan kepada Allah.

Gabungan lidah, rongga mulut dan olahan nafas daripada kerongkong melahirkan perkataan dan nada suara sebagai bahasa pertuturan ketika berkomunikasi. Individu tidak mampu bercakap dianggap cacat atau bisu.

Orang yang sempurna kemampuan lidahnya perlu bersyukur dan melahirkan suara enak didengar dan memberi manfaat. Malah, dosa manusia banyak berpunca daripada keterlanjuran mulut yang tidak dikawal. Kata orang kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana. Sebab itulah, besar faedahnya sesiapa yang mampu menjaga lidahnya daripada memperkatakan tidak baik.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Aku memberi jaminan sebuah rumah dalam kebun syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan, meskipun dia benar. Aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tengah syurga bagi orang yang tidak berbohong walaupun sekadar bergurau. Aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tempat paling tinggi di dalam syurga bagi orang mempunyai budi pekerti baik.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Tutur kata baik boleh diumpamakan seperti mutiara yang disukai semua orang. Oleh sebab itu, tutur kata baik akan menarik minat orang lain mendengarnya dengan perasaan ceria, kagum dan mengiyakan. Tarikan kepada kata-kata akan meletakkan penutur sebagai orang disenangi, disanjungi, dicontohi dan diterima kata-kata itu untuk tujuan kebaikan.

Justeru, Islam amat prihatin terhadap cara bercakap agar tidak mengeluarkan kata-kata tidak baik. Setiap perkataan dikeluarkan dari mulut membabitkan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah.

Percakapan juga seperti perbuatan melambangkan tahap keimanan seseorang. Orang beriman menjaga setiap tutur katanya bagi mengelak perkara buruk akibatnya seperti mengumpat, menyebar fitnah, mengeji dan berbohong.

Memandangkan besarnya bencana berpunca daripada lidah, Rasulullah menganjurkan sesiapa yang tidak mampu mengawalnya daripada berkata-kata tidak baik, lebih baik dia mendiamkan diri.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka bercakaplah perkara yang baik atau mendiamkan diri.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).

Berdiam diri adalah cara paling mudah menyelamatkan diri daripada fitnah, mengumpat dan berkata-kata perkataan tidak perlu. Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang diam, dia akan selamat.” (Hadis riwayat Ahmad).

Beruntunglah sesiapa yang mampu menjaga kata-katanya sehingga menjadi lambang ketulusan budi dan pekertinya. Sesiapa yang sentiasa berkata benar dan disenangi orang lain, hidupnya dalam kesejahteraan dan damai.

Memang tidak dinafikan sukar berdiam diri, terutama ketika bersama ahli keluarga, kawan dan rakan setugas, takut nanti pula dikatakan sombong, tidak pandai bergaul, ‘kera sumbang’ dan antisosial. Inilah sebenarnya cabaran yang terpaksa dihadapi dan berusaha menyesuaikan diri dalam keadaan memerlukan kebijaksanaan fikiran dan kekuatan iman.

Nabi pernah bersabda: “Diam itu adalah suatu hukum dan sedikitlah (orang) yang melaksanakannya.” (Hadis riwayat Abu Mansur ad-Dailami). Jelas sekali bahawa diam atau mengelak diri daripada memperkatakan perkataan buruk adalah suatu hukum atau perintah yang amat dituntut.

Tidak dinafikan kadang kala perkataan diucapkan tidak melambangkan maksud sebenar yang hendak diucapkan. Jadi, sekiranya terkeluar perkataan tidak baik, cepat-cepat bertaubat dan mengaku kesalahan diri. Adalah mulia orang yang mengaku kesalahan dan ikhlas menarik balik keterlanjuran kata-katanya.

Categories:

3 comments:

MACAM MANA NAK KENDURKAN FITNAH JIKA HARI-HARI IA MASUK TV . SIAR SIAR DAN TERUS SIAR????

keadilan dan kebenaran kan datang suatu hri :D

kunjungi http://tanjungherbal.com

terimakasih untuk artikelnya..

semoga bermanfaat http://mobildatsunbandung.com/

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...