Firman Allah Taala Yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya
mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya."
(Surah Al-A'raf: ayat 34)

Sunday, September 11, 2011

Syariat, Tarekat, Hakikat, Makrifat

Islam adalah iman , ilmu dan amal .Iman adalah persoalan aqidah atau ketuhanan.Ilmu dan amal pula, ada yang berbentuk lahiriah dan ada yang berbentuk batiniah atau rohaniah.
Bertolak dari aqidah, maka timbullah keperluan untuk beribadah sama ada ibadah lahir mahupun ibadah batin. Setelah Tuhan dikenali,dicintai dan ditakuti, maka akan terdoronglah kita untuk menyembah danmengagungkan- Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Akan
terdoronglah kita untuk melaksanakan segala suruhan dan meninggalkansegala larangan-Nya. Akan terdoronglah kita untuk patuh dan taat kepada-Nya. Akan terdoronglah kita untuk berjuang dan berkorban kerana-Nya.

Ilmu lahiriah ialah ilmu feqah yang bersangkut paut dengan amalan lahir. Ilmu batiniah atau rohaniah pula ialah ilmu tasawuf yang bersangkut paut dengan amalan hati. Amalan sama ada yang lahir atau
yang batin mestilah didorong oleh aqidah. Ia mesti didorong oleh rasa cinta dan takut kepada Allah . Barulah amalan itu akan bermakna dan akan mempunyai erti dan maksud yang betul. Amalan adalah jalan, kaedah atau cara untuk membukti dan merealisasikan rasa cinta dan rasa takut
kita kepada Allah.

Bila Allah sudah dikenali, barulah kita betul-betul boleh mempraktikkan atau melaksanakan agama. Barulah Allah itu menjadi matlamat dan tumpuan ibadah dan pengabdian kita. Barulah amalan kita
itu ada tempat tujunya. Barulah akan terjalin dan tercetus hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Dalam beragama, kenal Allah itu perkara pokok yang mesti didahulukan. Selepas itu baru timbul soal amalan. Ini sesuai dengan hadis yang bermaksud : "Awal-awal agama mengenal Allah"

Amalan agama yang tidak didahului oleh rasa cinta dan rasa takut kepada Allah sudah tentu tidak akan membawa kita kepada-Nya. Sudah pasti ia didorong oleh perkara-perkara dan kerana-kerana yang lain. Mungkin kerana mahukan Syurga. Mungkin kerana takutkan Neraka. Mungkin kerana mahukan pahala dan fadhilat. Walaupun tujuan-tujuan ini tidak salah kerana ianya sebahagian dari janji-janji Tuhan, tetapi maqamnya terlalu rendah. Justeru itu hasil dan manfaat dari ibadah seperti ini
juga adalah rendah.

Ibadah yang didorong oleh perkara-perkara seperti ini, walaupun banyak, tidak akan dapat mengubah akhlak dan peribadi kita. Ia tidak akan menimbulkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan di dalam hati kita. Kerana itu, ia tidak akan mampu menyuburkan sifat-sifat mahmudah dan membakar sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita. Ini kerana Tuhan tidak dilibatkan dan tidak dijadikan matlamat dalam ibadah kita. Kalau Tuhan tidak dilibatkan, maka hati akan kurang berperanan kerana
hati itu wakil Tuhan. Ibadah yang tidak ada Tuhan ini sudah tentu tidak ada rohnya, tidak ada rasanya dan tidak ada khusyuknya. Bila hati tidak berperanan, maka tidak akan ada penghayatan dan penjiwaan dalam ibadah.

Tambahan pada itu ibadah kerana hendakkan Syurga, pahala dan fadhilat dan kerana takutkan Neraka ini ada risikonya. Disebabkan Tuhan dan hati tidak dilibatkan sama dalam ibadah seperti ini, maka ibadah ini tidak ada kekuatannya. Lama kelamaan, ia akan dicelahi dengan rasa bosan dan jemu. Sukar hendak diistiqamahkan. Ia juga mudah dihinggapi penyakit riyak, ujub dan sum'ah. Ini semua akan memusnahkan pahala  ibadah. Lebih-lebih lagilah kalau tujuan dan niat ibadah itu adalah
untuk dipuji, untuk disanjung, untuk mendapat nama dan glamour, untuk menunjuk-nunjuk dan kerana sebab-sebab lain yang berbentuk duniawi. Sudah tentulah ia tidak ada nilai apa-apa. Malahan ibadah seperti ini akan Allah lemparkan semula ke muka pengamalnya berserta dengan laknat-Nya sekali. Ibadah seperti ini tidak akan mendekatkan seseorang itu dengan Allah. Malahan dia akan bertambah jauh dari Allah. Dia berbuat maksiat dan kemungkaran dalam ibadahnya. Lagi banyak dia
beribadah, lagi dia rasa sombong, angkuh, riyak, ujub, rasa diri mulia, rasa diri baik dan sebagainya. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia pandang orang lain hina, jahat dan tidak berguna.

Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada urutan dan susunannya. Ada "progression" nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia bermula dengan Syariat , kemudian dengan Tariqat , diikuti pula dengan hakikat dan diakhiri dengan Makrifat .

Syariat.
Ini adalah ilmu sama ada ilmu bagi amalan, lahir (feqah) atau ilmu bagi amalan hati (tasawuf). Ini adalah langkah pertama dalam tertib beramal. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan, hukum-hakam, halal haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa ilmu, kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut sesuka hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak terima, kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam, kita mesti belajar. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat biji benih.

Tariqat .

Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan sama ada amalan lahir mahupun amalan hati secara istiqamah dan bersungguh-sungguh. Ilmu (syariat) yang ada perlu dilaksanakan. Ini dinamakan juga tariqat wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan sesetengah pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih tadi (syariat) hingga ia bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun.

Hakikat.

Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita amalkan syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup
syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah. Buah tariqat adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu atau pencapaian maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar , maqam redha , maqam tawakkal , maqam tawadhuk , maqam syukur dan berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja (sebiji buah sahaja) atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam yang berbeza dari satu pokok yang sama. Hakikat adalah perubahan jiwa atau perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat dengan faham dan dihayati.

Makrifat .

Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang dapat dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan rahsia-rahsia- Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al Arifbillah .

Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini bermula dari yang lahir dan berakhir dengan yang batin. Syariat dan tariqat itu terletak dalam kawasan lahir. Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke dalam hati dan rohani. Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah dicapai kerana ia hanya melibatkan usaha lahir.

Thursday, August 25, 2011

Lazat Dunia Azab Alam Barzakh

SEKARANG ini sesekali saya duduk-duduk bersama-sama orang tasawuf, orang tarikat. Suatu hari terkesan saya dengan pandangan ini: “Semakin meningkat usia kita (terutama yang sudah memasuki usia tua, mulai 50 tahun) kurangkan beban memburu dunia sebaliknya meningkatkan amalan untuk ke alam sana.”

Teringat saya kata-kata hikmat yang ditulis oleh seorang ahli pondok: “Walau banyak mana pun harta yang kamu kumpulkan di muka bumi ini, suatu hari nanti akan musnah jua hartamu itu hinggalah kamu masuk ke perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah melakukan maksiat di muka bumi ini, maka suatu hari nanti kamu tetap akan diazab dalam perut bumi.”

Beliau melanjutkan dengan berkata: “Walau bagaimanpun kamu berlagak dan bertakabur di atas muka bumi ini, suatu hari nanti kamu tetap akan dihina dalam perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah dengan memakan dan minum minuman haram, suatu hari nanti tubuhmu tetap akan menjadi makanan ulat.”

Ya, sesungguhnya jarak masa kehidupan sekarang ini (berada di atas bumi) dengan berada di bawahnya (memasuki kubur) tersangat dekat, tetapi kebanyakan orang tidak mempedulikannya, mereka dibuai kelekaan untuk memperbanyak habuan dunia seperti harta benda, pangkat dan kuasa. Dalam mengejar impian ini, mereka tidak peduli sama ada perlu memijak kawan dan juga lawan malah sehingga sanggup menikam kawan dari belakang termasuklah melakukan fitnah. Hal inilah yang berleluasa sekarang ini.

Seorang bijak pandai pula mengandaikan perjalanan kehidupan ini bagaikan kembara ke puncak gunung. Di kaki gunung (sebelum memulakan pendakian), tentulah beban kita banyak (misalnya makanan, minuman dan pelbagai peralatan) tetapi semakin tinggi dakian kita, bebanan semakin berkurangan kerana sebahagian makanan sudah dihabiskan sehinggalah sampai ke puncak gunung beban dipikul hampir habis; tetapi hal sebaliknya berlaku kepada sebahagian besar manusia.

Selain memikul bebanan yang berat, mereka mengutip sisa-sisa di sepanjang laluan menjadikan perjalanan mereka semakin lama semakin sukar. Mereka sendiri menggalas beban yang tidak diperlukan malah ada yang memikul peti sejuk untuk ke puncak gunung yang bersalji. Cuba kita teliti kehidupan kita, apakah kita sudah rasa memadai dengan apa yang kita ada? Malah ada hadis yang menyebut jika kita ada dua buah lembah emas, kita rasa itu tidak memadai, kita mahu lembah ketiga dan seterusnya.

Demikianlah perjalanan kehidupan yang meletihkan. Peluang hidup disia-siakan, dihabiskan semata-mata bagi mengumpul harta, dinar dan emas perak yang semuanya tidak laku apabila sampai di puncak gunung nanti (matilah).

Apabila emas, perak, pangkat dan kuasa menjadi buruan, berleluasalah gejala sosial yang maha hebat sekarang ini. Masyarakat sudah teruk, bahana keruntuhan institusi keluarga sudah dirasai dengan meningkatnya kes bunuh, bunuh diri, penderaan, zina, pembuangan bayi dan aneka maksiat lain.

Itulah kawan fikir saya pada majlis tasawuf berkenaan berkata, semakin meningkatnya usia kita yang menghampiri kematian, kurangkanlah sedikit demi sedikit kelazatan dunia sebaliknya tingkatkan amalan ke alam sana sehingga apabila hampir ‘yakin’ (mati), dunia dapat kita tinggalkan dengan reda dengan keberuntungan akhirat seolah-olah sudah memanggil-manggil kita!

Sumber klik

Friday, July 29, 2011

Ibadat seorang yang hilang ingatan (bukan gila) akibat penyakit

Soalan: Seorang yang hilang ingatan (bukan gila) akibat penyakit seperti kerasukan jin, apakah perlu qodha solat/puasa yang ditinggalkan selama sakit itu?.


Jawapan: Hukumnya sama juga dengan koma, pingsan atau dibius; ia dikategorikan sbg hilang ingatan tanpa disengajakan; di sini ulamak berbeda pandangan; Jumhur ulamak berpendapat: gugur kewajipan solat jika hilang ingatannya berlarutan hingga dua waktu solat yg boleh dijama'.

Cthnya: jika hilang ingatan seseorang itu bermula waktu zuhur dan berterusan hingga waktu Asar habis, maka gugurlah kewajipan solatnya tanpa perlu qadha.

Imam Syafi'iy : Gugur kewajipan solat jika hilang ingatan itu satu waktu solat penuh. Imam Hanafi: jika hilang ingatan melebihi 5 waktu solat, baru gugur wajibnya solat. (Rahbawi,  Solat 'ala madzhaahib arba'ah)

- Tuan Hasan Tuan Lah

Sunday, July 3, 2011

Pengurusan kubur di Singapura

Oleh Hazlinda Hamzah

Di Singapura, pusara lama akan digali dan dipindahkan ke kawasan baru untuk disusun bagi memberi ruang kepada pusara baru. Usaha mengalih tanah perkuburan dilakukan beberapa tahun sekali.

Dari tanah perkuburan Bidadari lebih 30 tahun lalu, ia berpindah ke kawasan Pusara Aman dan kini dipindahkan pula ke Pusara Abadi di kawasan Choa Chu Kang.

Perpindahan pusara ke tapak baru, mengutamakan konsep ruang yang lebih ekonomikal, memandangkan jasad yang lebih 20 tahun dikebumikan sudah mengecil daripada keadaan asal. Oleh itu susun atur di tempat baru dibuat lebih praktikal.

BERKONGSI LIANG DI PUSARA ABADI

Daripada satu liang lahad yang memuatkan hanya satu jasad, tapak pemindahan yang baru itu memuatkan peninggalan lapan rangka mayat di dalam satu liang yang tidak sampai 1.5 meter dalamnya.

Tetapi lain halnya pula untuk tapak perkuburan yang tiada waris. Enam belas rangka mayat dikumpul dan disemadikan bersama di dalam satu liang lahad.

Liang lahad dibuat lebih kecil dan mempunyai benteng pembahagi di tengah-tengah lot yang berukuran lebih kurang dua meter panjang dengan 0.5 meter lebar.

Proses mengorek semula liang lama mengambil masa kurang daripada dua jam dan untuk proses pengkebumian semula, masa menanti untuk semua liang-liang yang dijadualkan dibuka pada satu-satu hari, perlu dipenuhi.

Proses pengkebumian semula hanya berlangsung pada waktu tengah hari, selepas solat Zohor.

Pihak berwajib di bawah pengurusan pejabat agama Islam di republik ini bertanggungjawab menguruskan pengkebumian semula ini dan hampir 50 kes pemindahan diuruskan setelah diiklankan melalui akhbar utama tempatan, setiap hari.

Menggali kubur lama, mengutip tulang dan mengkapan rangka mayat ini semula perlu bersaksikan waris yang telah memberikan kebenaran pada hari yang ditetapkan.

Rangka yang dikumpulkan dibawa ke tapak persemadian baru, yang terletak hanya kira-kira 1 kilometer dari perkuburan lama, Pusara Aman, dengan berkonvoikan kenderaan waris dan para pegawai pejabat agama.

HAK WARIS

Proses pengkebumian semula bagaimanapun berjalan begitu pantas dan waris yang menuntut hak arwah dipindahkan, hanya berdiri di sekeliling, menyaksikan pengkebumian itu.

Ahli keluarga yang ditemui puas hati dengan pengurusan sehari suntuk itu.

"Pengurusannya agak sistematik, tempat menunggu pun selesa. Walaupun ia sehari suntuk, ia dijalankan mengikut jadual," Dahlia Monsen memberitahu penulis, yang turut menghadiri pemindahan rangka mayat arwah neneknya yang meninggal dunia pada tahun 1980.

Hasrat kerajaan memindahkan pusara lama pada mulanya diiklankan dan keluarga waris kemudian mula menghubungi pihak berkenaan serta Jabatan Agama Islam Singapura (JAIS). JAIS yang kemudian menghantar surat pemberitahuan tentang tarikh prosedur seterusnya.

Penulis yang turut menjadi waris kepada penghuni di pusara yang perlu dipindahkan melalui prosedur yang serupa, mendapat tahu tentang tarikh pemindahan seawal bulan Mei 2009.

Ia ditunda sehingga tiga bulan selepas itu untuk mengisi kelapangan semua pihak yang terlibat.

JAIS tidak mengenakan sebarang kos untuk prosedur yang dijalankan dengan teliti ini kecuali sedekah yang ingin dipanjangkan kepada pekerja pusara yang menguruskan pemindahan itu.

"Saya amat terharu bila tulang arwah ibu saya dikeluarkan semula dari liang yang agak sukar dibuka akibat akar pokok besar di tepi jalan yang menjalar di bawah tanah hingga menolak kedudukan beberapa kuburan yang sederet dengan kubur arwah ibu saya," ujar Dayang Sofia Awang Rambli yang datang dari Brunei Darussalam untuk menjadi saksi kepada pemindahan yang dilangsungkan pada pagi yang dituruni hujan rintik-rintik itu.

"Susah juga wak yang menggali semula kubur tu, kasihan saya tengok.

"Nasib baiklah kami sampai awal jadi penggalian semula dimulakan pagi-pagi lagi selepas kami mengambil nombor di pejabat pentadbiran di kawasan Pusara Aman," kata Dayang Sofia yang ditemani adik perempuannya, anak-anak dan cucu beliau.

KUBUR BERTINGKAT

Di Malaysia, keadaannya berbeza. Tanah perkuburan belum sampai ke tahap untuk dipindahkan ke tapak baru tetapi sekiranya terdapat sebarang kekurangan ruang untuk menyempurnakan persemadian jenazah di satu-satu kawasan, tanah perkuburan bertingkat menjadi alternatif.

Ini sudahpun dilakukan di Pulau Pinang. Menurut seorang pegawai di sebuah unit yang ditempatkan di pejabat Mufti Selangor, tapak kubur lama ditambak dengan tanah setinggi 0.9 meter terlebih dahulu sebelum jenazah baru dikebumikan di bahagian atas lot yang dikongsi bersama jenazah yang dikebumikan sebelumnya.

Apabila ditanya tentang keadaan ruang untuk tanah perkuburan di negeri Selangor masih mencukupi atau tidak, jawapan yang diberi:

"Tanah masih ada. Ruang masih mencukupi setakat ini. Masih belum ada keperluan untuk sebarang kehendak pembangunan dipenuhi. Bagaimanapun, Selangor turut akan mengaplikasikan konsep tanah kubur bertingkat, apabila perlu." -- BERNAMA

Tuesday, June 14, 2011

Bahaya Penyebaran fitnah


SEJAK zaman Rasulullah SAW lagi sudah wujud masalah khabar angin palsu dan fitnah, maka apatah lagi pada zaman serba canggih ini, apa-apa saja boleh berlaku. Justeru, setiap individu muslim hendaklah memikul tanggungjawab dalam setiap perkataannya agar tidak tersalah dalam berkata-kata atau mengada-adakan cerita kerana dosa lidah itu amat berat.
Dalam menerima sesuatu maklumat, selidik dulu fakta diterima dan jangan dipercayai seratus peratus tanpa ada sandaran bukti dan dalil yang kuat. Seelok-eloknya tanyalah kepada orang yang lebih mengetahui dan sekiranya maklumat itu berkaitan dengan peribadi seseorang, tanyalah terlebih dulu kepada empunya diri supaya perkhabaran yang diterima itu betul dan tepat.

Wednesday, June 8, 2011

Para Da’ie Yang Berada Di Pinggir Da’wah

Ramai di kalangan para da’ie masa kini yang belum benar-benar memahami tentang selok-belok dan tujuan yang harus mereka ikuti; memahami berapa jauhkah jarak yang akan mereka tempuh. Mereka belum insaf bahawa da’wah adalah pengorbanan. Mereka belum mengerti tentang apa yang harus mereka korbankan dalam melaksanakan tugasnya itu, baik yang berupa harta dan jiwa raganya. Hal ini menyebabkan para da’iee sering menjadi contoh yang tidak baik terhadap ajaran Islam yang mereka sampaikan kepada masyarakat.


Monday, June 6, 2011

Hati yang selalu muda

Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda: "Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda." Hadis ini telah diriwayatkan oleh Muslim.

Kehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...