Firman Allah Taala Yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya
mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya."
(Surah Al-A'raf: ayat 34)

Thursday, October 20, 2011

Mungkinkah akan berulang selamanya...

By Yulius Prasetyo Rahayu

Hari per-1, tahajudku tetinggal
Dan aku begitu sibuk akan duniaku
Hingga zuhurku, ku selesaikan saat ashar mulai memanggil
Dan sorenya ku lewati saja masjid yang mengumandangkan azan magrib
Dengan niat ku lakukan bersama Isyak itupun terlaksana setelah acara tv selesai

Hari ke-2, tahajudku tertinggal lagi
Dan hal yang sama aku lakukan sebagaimana hari pertama

Hari ke-3 aku lalai lagi akan tahujudku
Temanku memberi hadiah novel best seller yang lebih dr 200 halaman
Dalam waktu tidak 1 hari aku telah selesai membacanya
Tapi… enggan sekali aku membaca Al-qur’an walau cuma 1 juzz
Al-qur’an yg 114 surat, hanya 1,2 surat yang ku hafal itupun dengan terbata-bata
Tapi… ketika temanku bertanya tentang novel tadi betapa mudah dan lancarnya aku menceritakan

Hari ke-4 kembali aku lalai lagi akan tahajudku
Sorenya aku datang ke selatan Jakarta dengan niat mengaji
Tapi ku biarkan ustaz ku yang sedang mengajarkan kebaikan
Ku biarkan ustaz ku yang sedang mengajarkan lebih luas tentang agamaku
Aku lebih suka mencari bahan obrolan dengan teman yang ada disamping kiri & kananku
Padahal bada magrib tadi betapa sulitnya aku merangkai
Kata-kata untuk ku panjatkan saat berdoa

Hari ke-5 kembali aku lupa akan tahajudku
Ku pilih shaf paling belakang dan aku mengeluh saat imam sholat Jumaat kelamaan bacaannya
Padahal betapa dekat jaraknya aku dengan televisi dan betapa nikmat,
serunya saat perpanjangan waktu sepak bola favoritku tadi malam

Hari ke-6 aku semakin lupa akan tahajudku
Ku habiskan waktu di mall & bioskop bersama teman2ku
Demi memuaskan nafsu mata & perutku sampai puluhan ribu tak terasa keluar
Aku lupa.. waktu diperempatan lampu merah tadi
Saat wanita tua mengetuk kaca mobilku
Hanya uang dua ratus rupiah ku berikan itu pun tanpa menoleh

Hari ke-7 bukan hanya tahajudku tapi subuh ku pun tertinggal
Aku bermalas2an di tempat tidurku menghabiskan waktu
Selang beberapa saat dihari ke-7 itu juga
Aku tersentak kaget mendengar khabar temanku kini
Telah terbungkus kain kafan padahal baru tadi malam aku bersamanya
dan malam tadi dia dengan misscallnya mengingatkan aku tentang tahajud
kematian.... kenapa aku baru gemetar mendengarnya?
Padahal dari dulu sayap2nya selalu mengelilingiku dan
Dia bisa hinggap kapan pun dia mau

Dari hari ke hari, bulan dan tahun
Yang wajib jarang aku lakukan apalagi yang sunah
Kurang mensyukuri walaupun KAU tak pernah meminta
Berkata kuno akan nasehat ke-2 orang tuaku
Padahal keringat & airmatanya telah terlanjur menetes demi aku

Tuhan andai ini merupakan satu titik hidayah
Walaupun imanku belum seujung kuku hitam
Aku hanya ingin detik ini hingga nafasku yang saat nanti tersisa
Tahajud dan sholatku meninggalkan bekas
Saat aku melipat sajadahku…..
Amin….

Saturday, October 1, 2011

Allah Ajarkan Rahsia Kebahagiaan Hidup

Assalamualaikum w.b.t.,
Apa khabar sahabat semua? Semoga sentiasa dirahmati dan dikasihi Allah. Sudahkah kita benar-benar menghadapkan diri dan kehidupan kita sepenuhnya kepada Allah? Berapa peratus? Seratus peratus? Lima puluh peratus? Atau baru sepuluh peratus?

Tahukah anda bagaimana mahu mengukur tahap anda menghadap kepada Allah? Mudah saja. Lihat sejauh mana anda menghadapkan diri kepada Allah sewaktu solat. Berapa peratuskan solat anda itu benar-benar sedar kepada Allah dan betul-betul menghadap kepada-Nya dan bukan menghadap kepada yang selain-Nya seperti kerja yang belum disiapkan, ikan di kuali atau kunci yang hilang.

Sebaik anda mengangkat takbiratul ihram, perhatikan kesedaran anda. Anda boleh berada dalam dua kesedaran, pertama kesedaran kepada Allah dan merasa dilihat Allah atau kesedaran nafs iaitu perkara-perkara berkaitan dunia dan hawa nafsu. Sekiranya kesedaran anda kepada Allah hanya sekitar sepuluh peratus sahaja dari keseluruhan solat itu, maka begitu jugalah sepuluh peratus sahaja anda menghadapkan diri dan kehidupan kepada Allah. Itulah cara mengukurnya kerana solat menggambarkan diri dan kehidupan anda.

Bayangkan di dalam sebuah kelas, sekiranya terdapat pelajar yang bercakap semasa guru bercakap, itu menunjukkan sikapnya yang sama di luar kelas iaitu tidak menghormati orang lain. Sikap kita di dalam solat sama dengan sikap kita di luar solat. Justeru, inilah rahsianya untuk kita mengubah sikap dan kehidupan kita kepada yang lebih baik. Iaitu dengan membaiki solat kita. Inilah latihan yang Allah sediakan.

Solat adalah suatu perbuatan yang dibuat berulang-ulang kali. Setiap perbuatan yang dibuat berulang kali akan menjadi perilaku atau sikap seseorang yang melakukan perbuatan itu. Justeru Allah mewajibkan hamba-Nya untuk solat dengan khusyuk iaitu dengan menghadapkan dirinya dengan penuh kepada Allah ketika solat. Inilah yang terungkap dalam Doa pembuka solat iaitu Doa Iftitah, "Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku ke wajah Allah yang menciptakan langit dan bumi" dan kalimah seterusnya "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah".

Bayangkan sekiranya seseorang itu menghayati apa yang dibacanya dalam doa Iftitah ini iaitu dengan melakukan apa yang dibaca bukan sekadar membaca tanpa sedar, pastinya ia akan berubah menjadi perilaku. Bagaimana dia benar-benar menghadapkan wajahnya kepada Allah ketika dia membaca doa Iftitah pastinya dia terlatih untuk menghadapkan diri dan kehidupannya hanya untuk Allah. Inilah rahsia solat yang khusyuk. Apabila seseorang berjaya untuk solat dengan khusyuk maka dia juga berjaya menghadapkan diri dan kehidupannya kepada Allah di luar solat. Dia juga akan berjaya mencegah perbuatan keji dan mungkar kerana dia sentiasa sedar akan Allah setiap waktu dan ketika. Firman Allah; ".. Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar"

Ramai umat Islam hari ini mempunyai masalah untuk solat dengan khusyuk. Apakah dan dimana puncanya masalah ini? Pertamanya kerana tidak adanya ilmu bagaimana kaedahnya untuk khusyuk di dalam solat. Dari kecil, kita diajar dengan lengkap rukun-rukun dan sunat-sunat solat, kita diajar apa yang membatalkan solat tapi jarang sekali yang mengajar bagaimana untuk khusyuk dengan solat. Justeru, ilmu untuk solat dengan khusyuk tersangatlah penting agar solat kita menjadi solat yang khusyuk dan menghadapkan diri kepada Allah. Barulah hidup kita akan betul menghadap kepada Allah dan tidak selain-Nya. Dengan itu benarlah kalimah syahadah yang kita ucapkan bahawa tidak ada Tuhan lain yang kita hadapkan wajah kita selain Allah; tidak menghadap kepada wang dan harta, tidak menghadap kepada pangkat dan kemasyhuran yang dengan itu kita telah mensyirikkan Allah.

Keduanya, setelah kita belajar solat dengan khusyuk, mengapa kita masih mempunyai masalah untuk khusyuk? Ini adalah kerana dalam diri kita ada nafs (hawa nafsu) yang sering mengajak kepada kejahatan. Diri kita masih mempunyai banyak keinginan yang berkaitan dengan dunia.

Justeru ketika kita mahu menghadapkan diri kepada Allah di dalam solat, keinginan-keinginan dunia dari hawa nafsu akan menarik kesedaran terhadap Allah dan membawa kita kesedaran dunia dan isinya. Justeru solat kita menjadi tidak khusyuk kerana jiwa tidak menghadap kepada Allah tetapi kepada selain-Nya. Bagaimana untuk menghadapi masalah ini?

Allah sudah menyiapkan senjata untuk kita menawan hawa nafsu kita agar dia menjadi lemah dan tidak mampu untuk menarik perhatian kita dari Allah. Senjata itu adalah Puasa.

Hawa Nafsu kita berasal dari dorongan jasad kita. Puasa melemahkan jasad dan secara otomatisnya melemahkan dorongan untuk membesarkan hawa nafsu. Justeru latihan 30 hari di bulan Ramadhan adalah senjata yang sangat hebat untuk menawan hawa nafsu itu. Bayangkan setiap hari kita melemahkan jasad dan dorongannya. InsyaAllah di akhir bulan Ramadhan, kita akan berjaya menawan hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan itu dan akhirnya berjaya solat dengan khusyuk dan menghadapkan secara penuh kepada Allah. Justeru kembalilah kita kepada Allah dalam keadaan suci dan itulah sebab kita sering mendengar ungkapan "kembalilah ke fitrah yang suci" di bulan Ramadhan.

Allah memberikan kita senjata yang kedua untuk benar-benar menawan hawa nafsu kita. Senjata yang kedua adalah zakat. Di dalam bulan Ramadhan kita digalakkan berzakat atau bersedekah. Memberi yang digalakkan Allah adalah memberi sesuatu yang dicintai. Contohnya seorang yang mempunyai banyak kambing, haruslah memilih kambing yang terbaik untuk disedekahkan. Mengeluarkan atau memberi harta yang dicintai ini akan membebaskan kita dari ikatan kecintaan harta dan dunia yang sering menarik kesedaran kita dari kesedaran ke Allah kepada kesedaran dunia dan isinya. Justeru dengan senjata yang kedua ini, kita akan lebih mudah untuk solat dengan khusyuk.

Apa jadi selepas bulan Ramadhan? Senjata sudah tidak digunakan lagi?

Pastinya kita memerlukan senjata ini setiap waktu dan ketika kerana kita harus menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah setiap bulan dan bukan hanya di bulan Ramadhan. Allah menggalakkan hamba-Nya untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal. Justeru sebaiknya cubalah berpuasa enam hari berturut-turut agar dapat manfaat seperti bulan Ramadhan di mana kita benar-benar memerangi hawa nafsu yang cuba membesar dengan 'open house' di bulan Syawal. Jangan lupa untuk menggunakan juga senjata yang kedua iaitu zakat atau sedekah ketika kita berpuasa enam itu.

Apa yang berlaku selepas puasa enam? Rasulullah mengajar kita untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Puasa itu senjata yang tidak harus ditinggalkan. Justeru untuk memastikan kita mampu untuk sentiasa solat dengan khusyuk di mana kesedaran kita ke Allah berjaya dipertahankan (kerana hawa nafsu yang menarik kesedaran itu sudah berjaya dilemahkan dan ditawan) maka kita harus sentiasa menggunakan senjata Puasa ini secara berterusan.

Jangan lupa juga untuk keluarkan zakat atau bersedekah apabila melakukan Puasa Sunat Isnin dan Khamis. InsyaAllah kita dapat menghidupkan suasana Ramadhan setiap minggu; Isnin, Khamis berpuasa, Jumaat kita raya (ada khutbah Jumaat) dan jangan lupa bila ke Masjid untuk solat berjamaah, hulurkan wang yang kita cintai untuk jalan Allah atau kepada sesiapa yang memerlukan. Justeru orang Islam itu bersedekah setiap minggu.

Inilah rahsia hebat yang sering kita terlepas pandang. Solat, Puasa dan Zakat hanya jadi rutin beragama yang dilaksanakan tanpa memahaminya. Justeru di bulan Ramadhan yang sewajarnya bulan menawan hawa nafsu jadi bulan yang paling kuat membesarkan hawa nafsu, hawa nafsu makan semasa berbuka, hawa nafsu menukar perabot rumah, memberi emas, membeli langsir dan sebagainya. Jadilah Puasa kita itu hanya sekadar lapar dan dahaga yang disebutkan oleh Rasululah.
Dengan Ilmu solat dengan khusyuk dan dua senjata hebat, Puasa dan Zakat, insyaAllah kita akan mampu Solat dengan benar-benar menghadapkan wajah kita kepada Allah sepenuhnya. Justeru, begitulah juga kita di luar solat, insyaAllah benar-benar mampu menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah dan menjadikan hidup dan mati kita hanya untuk Allah. Inilah erti Kalimah Syahadah yang kita sebutkan. Barulah kita dikatakan telah menyempurnakan Syahadah kita.

Rumusannya, Solat adalah cermin diri dan kehidupan kita. Bagaimana kita solat, itulah diri dan kehidupan kita. Itulah sebab kenapa Solat adalah soalan yang pertama ditanya oleh Allah bila kita kembali menghadap-Nya satu hari nanti. Baik solat kita, baiklah kehidupan kita dan masuklah kita ke Syurga yang disediakan untuk orang-orang yang menjaga solatnya.

Belajarlah Solat dengan Khusyuk, rajinlah berpuasa dan lepaskanlah ikatan kecintaan kepada dunia dengan sering bersedekah dan berinfaq di jalan-Nya. Semoga kita dipanggil pulang oleh Allah sebagai jiwa yang tenang dan berjaya memasuki Wilayah Nafsul Mutmainnah yang didiami oleh ruh para kekasih Allah. Amin Ya Allah.

Firmah Allah yang bermaksud: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan puas lagi diredhaiNya, Masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu" (Al-Balad: 27-30)

Oleh Hasnul

Sunday, September 11, 2011

Syariat, Tarekat, Hakikat, Makrifat

Islam adalah iman , ilmu dan amal .Iman adalah persoalan aqidah atau ketuhanan.Ilmu dan amal pula, ada yang berbentuk lahiriah dan ada yang berbentuk batiniah atau rohaniah.
Bertolak dari aqidah, maka timbullah keperluan untuk beribadah sama ada ibadah lahir mahupun ibadah batin. Setelah Tuhan dikenali,dicintai dan ditakuti, maka akan terdoronglah kita untuk menyembah danmengagungkan- Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Akan
terdoronglah kita untuk melaksanakan segala suruhan dan meninggalkansegala larangan-Nya. Akan terdoronglah kita untuk patuh dan taat kepada-Nya. Akan terdoronglah kita untuk berjuang dan berkorban kerana-Nya.

Ilmu lahiriah ialah ilmu feqah yang bersangkut paut dengan amalan lahir. Ilmu batiniah atau rohaniah pula ialah ilmu tasawuf yang bersangkut paut dengan amalan hati. Amalan sama ada yang lahir atau
yang batin mestilah didorong oleh aqidah. Ia mesti didorong oleh rasa cinta dan takut kepada Allah . Barulah amalan itu akan bermakna dan akan mempunyai erti dan maksud yang betul. Amalan adalah jalan, kaedah atau cara untuk membukti dan merealisasikan rasa cinta dan rasa takut
kita kepada Allah.

Bila Allah sudah dikenali, barulah kita betul-betul boleh mempraktikkan atau melaksanakan agama. Barulah Allah itu menjadi matlamat dan tumpuan ibadah dan pengabdian kita. Barulah amalan kita
itu ada tempat tujunya. Barulah akan terjalin dan tercetus hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Dalam beragama, kenal Allah itu perkara pokok yang mesti didahulukan. Selepas itu baru timbul soal amalan. Ini sesuai dengan hadis yang bermaksud : "Awal-awal agama mengenal Allah"

Amalan agama yang tidak didahului oleh rasa cinta dan rasa takut kepada Allah sudah tentu tidak akan membawa kita kepada-Nya. Sudah pasti ia didorong oleh perkara-perkara dan kerana-kerana yang lain. Mungkin kerana mahukan Syurga. Mungkin kerana takutkan Neraka. Mungkin kerana mahukan pahala dan fadhilat. Walaupun tujuan-tujuan ini tidak salah kerana ianya sebahagian dari janji-janji Tuhan, tetapi maqamnya terlalu rendah. Justeru itu hasil dan manfaat dari ibadah seperti ini
juga adalah rendah.

Ibadah yang didorong oleh perkara-perkara seperti ini, walaupun banyak, tidak akan dapat mengubah akhlak dan peribadi kita. Ia tidak akan menimbulkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan di dalam hati kita. Kerana itu, ia tidak akan mampu menyuburkan sifat-sifat mahmudah dan membakar sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita. Ini kerana Tuhan tidak dilibatkan dan tidak dijadikan matlamat dalam ibadah kita. Kalau Tuhan tidak dilibatkan, maka hati akan kurang berperanan kerana
hati itu wakil Tuhan. Ibadah yang tidak ada Tuhan ini sudah tentu tidak ada rohnya, tidak ada rasanya dan tidak ada khusyuknya. Bila hati tidak berperanan, maka tidak akan ada penghayatan dan penjiwaan dalam ibadah.

Tambahan pada itu ibadah kerana hendakkan Syurga, pahala dan fadhilat dan kerana takutkan Neraka ini ada risikonya. Disebabkan Tuhan dan hati tidak dilibatkan sama dalam ibadah seperti ini, maka ibadah ini tidak ada kekuatannya. Lama kelamaan, ia akan dicelahi dengan rasa bosan dan jemu. Sukar hendak diistiqamahkan. Ia juga mudah dihinggapi penyakit riyak, ujub dan sum'ah. Ini semua akan memusnahkan pahala  ibadah. Lebih-lebih lagilah kalau tujuan dan niat ibadah itu adalah
untuk dipuji, untuk disanjung, untuk mendapat nama dan glamour, untuk menunjuk-nunjuk dan kerana sebab-sebab lain yang berbentuk duniawi. Sudah tentulah ia tidak ada nilai apa-apa. Malahan ibadah seperti ini akan Allah lemparkan semula ke muka pengamalnya berserta dengan laknat-Nya sekali. Ibadah seperti ini tidak akan mendekatkan seseorang itu dengan Allah. Malahan dia akan bertambah jauh dari Allah. Dia berbuat maksiat dan kemungkaran dalam ibadahnya. Lagi banyak dia
beribadah, lagi dia rasa sombong, angkuh, riyak, ujub, rasa diri mulia, rasa diri baik dan sebagainya. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia pandang orang lain hina, jahat dan tidak berguna.

Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada urutan dan susunannya. Ada "progression" nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia bermula dengan Syariat , kemudian dengan Tariqat , diikuti pula dengan hakikat dan diakhiri dengan Makrifat .

Syariat.
Ini adalah ilmu sama ada ilmu bagi amalan, lahir (feqah) atau ilmu bagi amalan hati (tasawuf). Ini adalah langkah pertama dalam tertib beramal. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan, hukum-hakam, halal haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa ilmu, kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut sesuka hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak terima, kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam, kita mesti belajar. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat biji benih.

Tariqat .

Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan sama ada amalan lahir mahupun amalan hati secara istiqamah dan bersungguh-sungguh. Ilmu (syariat) yang ada perlu dilaksanakan. Ini dinamakan juga tariqat wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan sesetengah pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih tadi (syariat) hingga ia bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun.

Hakikat.

Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita amalkan syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup
syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah. Buah tariqat adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu atau pencapaian maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar , maqam redha , maqam tawakkal , maqam tawadhuk , maqam syukur dan berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja (sebiji buah sahaja) atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam yang berbeza dari satu pokok yang sama. Hakikat adalah perubahan jiwa atau perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat dengan faham dan dihayati.

Makrifat .

Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang dapat dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan rahsia-rahsia- Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al Arifbillah .

Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini bermula dari yang lahir dan berakhir dengan yang batin. Syariat dan tariqat itu terletak dalam kawasan lahir. Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke dalam hati dan rohani. Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah dicapai kerana ia hanya melibatkan usaha lahir.

Thursday, August 25, 2011

Lazat Dunia Azab Alam Barzakh

SEKARANG ini sesekali saya duduk-duduk bersama-sama orang tasawuf, orang tarikat. Suatu hari terkesan saya dengan pandangan ini: “Semakin meningkat usia kita (terutama yang sudah memasuki usia tua, mulai 50 tahun) kurangkan beban memburu dunia sebaliknya meningkatkan amalan untuk ke alam sana.”

Teringat saya kata-kata hikmat yang ditulis oleh seorang ahli pondok: “Walau banyak mana pun harta yang kamu kumpulkan di muka bumi ini, suatu hari nanti akan musnah jua hartamu itu hinggalah kamu masuk ke perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah melakukan maksiat di muka bumi ini, maka suatu hari nanti kamu tetap akan diazab dalam perut bumi.”

Beliau melanjutkan dengan berkata: “Walau bagaimanpun kamu berlagak dan bertakabur di atas muka bumi ini, suatu hari nanti kamu tetap akan dihina dalam perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah dengan memakan dan minum minuman haram, suatu hari nanti tubuhmu tetap akan menjadi makanan ulat.”

Ya, sesungguhnya jarak masa kehidupan sekarang ini (berada di atas bumi) dengan berada di bawahnya (memasuki kubur) tersangat dekat, tetapi kebanyakan orang tidak mempedulikannya, mereka dibuai kelekaan untuk memperbanyak habuan dunia seperti harta benda, pangkat dan kuasa. Dalam mengejar impian ini, mereka tidak peduli sama ada perlu memijak kawan dan juga lawan malah sehingga sanggup menikam kawan dari belakang termasuklah melakukan fitnah. Hal inilah yang berleluasa sekarang ini.

Seorang bijak pandai pula mengandaikan perjalanan kehidupan ini bagaikan kembara ke puncak gunung. Di kaki gunung (sebelum memulakan pendakian), tentulah beban kita banyak (misalnya makanan, minuman dan pelbagai peralatan) tetapi semakin tinggi dakian kita, bebanan semakin berkurangan kerana sebahagian makanan sudah dihabiskan sehinggalah sampai ke puncak gunung beban dipikul hampir habis; tetapi hal sebaliknya berlaku kepada sebahagian besar manusia.

Selain memikul bebanan yang berat, mereka mengutip sisa-sisa di sepanjang laluan menjadikan perjalanan mereka semakin lama semakin sukar. Mereka sendiri menggalas beban yang tidak diperlukan malah ada yang memikul peti sejuk untuk ke puncak gunung yang bersalji. Cuba kita teliti kehidupan kita, apakah kita sudah rasa memadai dengan apa yang kita ada? Malah ada hadis yang menyebut jika kita ada dua buah lembah emas, kita rasa itu tidak memadai, kita mahu lembah ketiga dan seterusnya.

Demikianlah perjalanan kehidupan yang meletihkan. Peluang hidup disia-siakan, dihabiskan semata-mata bagi mengumpul harta, dinar dan emas perak yang semuanya tidak laku apabila sampai di puncak gunung nanti (matilah).

Apabila emas, perak, pangkat dan kuasa menjadi buruan, berleluasalah gejala sosial yang maha hebat sekarang ini. Masyarakat sudah teruk, bahana keruntuhan institusi keluarga sudah dirasai dengan meningkatnya kes bunuh, bunuh diri, penderaan, zina, pembuangan bayi dan aneka maksiat lain.

Itulah kawan fikir saya pada majlis tasawuf berkenaan berkata, semakin meningkatnya usia kita yang menghampiri kematian, kurangkanlah sedikit demi sedikit kelazatan dunia sebaliknya tingkatkan amalan ke alam sana sehingga apabila hampir ‘yakin’ (mati), dunia dapat kita tinggalkan dengan reda dengan keberuntungan akhirat seolah-olah sudah memanggil-manggil kita!

Sumber klik

Friday, July 29, 2011

Ibadat seorang yang hilang ingatan (bukan gila) akibat penyakit

Soalan: Seorang yang hilang ingatan (bukan gila) akibat penyakit seperti kerasukan jin, apakah perlu qodha solat/puasa yang ditinggalkan selama sakit itu?.


Jawapan: Hukumnya sama juga dengan koma, pingsan atau dibius; ia dikategorikan sbg hilang ingatan tanpa disengajakan; di sini ulamak berbeda pandangan; Jumhur ulamak berpendapat: gugur kewajipan solat jika hilang ingatannya berlarutan hingga dua waktu solat yg boleh dijama'.

Cthnya: jika hilang ingatan seseorang itu bermula waktu zuhur dan berterusan hingga waktu Asar habis, maka gugurlah kewajipan solatnya tanpa perlu qadha.

Imam Syafi'iy : Gugur kewajipan solat jika hilang ingatan itu satu waktu solat penuh. Imam Hanafi: jika hilang ingatan melebihi 5 waktu solat, baru gugur wajibnya solat. (Rahbawi,  Solat 'ala madzhaahib arba'ah)

Tuan Hasan Tuan Lah

Sunday, July 3, 2011

Pengurusan kubur di Singapura

Oleh Hazlinda Hamzah

Di Singapura, pusara lama akan digali dan dipindahkan ke kawasan baru untuk disusun bagi memberi ruang kepada pusara baru. Usaha mengalih tanah perkuburan dilakukan beberapa tahun sekali.

Dari tanah perkuburan Bidadari lebih 30 tahun lalu, ia berpindah ke kawasan Pusara Aman dan kini dipindahkan pula ke Pusara Abadi di kawasan Choa Chu Kang.

Perpindahan pusara ke tapak baru, mengutamakan konsep ruang yang lebih ekonomikal, memandangkan jasad yang lebih 20 tahun dikebumikan sudah mengecil daripada keadaan asal. Oleh itu susun atur di tempat baru dibuat lebih praktikal.

BERKONGSI LIANG DI PUSARA ABADI

Daripada satu liang lahad yang memuatkan hanya satu jasad, tapak pemindahan yang baru itu memuatkan peninggalan lapan rangka mayat di dalam satu liang yang tidak sampai 1.5 meter dalamnya.

Tetapi lain halnya pula untuk tapak perkuburan yang tiada waris. Enam belas rangka mayat dikumpul dan disemadikan bersama di dalam satu liang lahad.

Liang lahad dibuat lebih kecil dan mempunyai benteng pembahagi di tengah-tengah lot yang berukuran lebih kurang dua meter panjang dengan 0.5 meter lebar.

Proses mengorek semula liang lama mengambil masa kurang daripada dua jam dan untuk proses pengkebumian semula, masa menanti untuk semua liang-liang yang dijadualkan dibuka pada satu-satu hari, perlu dipenuhi.

Proses pengkebumian semula hanya berlangsung pada waktu tengah hari, selepas solat Zohor.

Pihak berwajib di bawah pengurusan pejabat agama Islam di republik ini bertanggungjawab menguruskan pengkebumian semula ini dan hampir 50 kes pemindahan diuruskan setelah diiklankan melalui akhbar utama tempatan, setiap hari.

Menggali kubur lama, mengutip tulang dan mengkapan rangka mayat ini semula perlu bersaksikan waris yang telah memberikan kebenaran pada hari yang ditetapkan.

Rangka yang dikumpulkan dibawa ke tapak persemadian baru, yang terletak hanya kira-kira 1 kilometer dari perkuburan lama, Pusara Aman, dengan berkonvoikan kenderaan waris dan para pegawai pejabat agama.

HAK WARIS

Proses pengkebumian semula bagaimanapun berjalan begitu pantas dan waris yang menuntut hak arwah dipindahkan, hanya berdiri di sekeliling, menyaksikan pengkebumian itu.

Ahli keluarga yang ditemui puas hati dengan pengurusan sehari suntuk itu.

"Pengurusannya agak sistematik, tempat menunggu pun selesa. Walaupun ia sehari suntuk, ia dijalankan mengikut jadual," Dahlia Monsen memberitahu penulis, yang turut menghadiri pemindahan rangka mayat arwah neneknya yang meninggal dunia pada tahun 1980.

Hasrat kerajaan memindahkan pusara lama pada mulanya diiklankan dan keluarga waris kemudian mula menghubungi pihak berkenaan serta Jabatan Agama Islam Singapura (JAIS). JAIS yang kemudian menghantar surat pemberitahuan tentang tarikh prosedur seterusnya.

Penulis yang turut menjadi waris kepada penghuni di pusara yang perlu dipindahkan melalui prosedur yang serupa, mendapat tahu tentang tarikh pemindahan seawal bulan Mei 2009.

Ia ditunda sehingga tiga bulan selepas itu untuk mengisi kelapangan semua pihak yang terlibat.

JAIS tidak mengenakan sebarang kos untuk prosedur yang dijalankan dengan teliti ini kecuali sedekah yang ingin dipanjangkan kepada pekerja pusara yang menguruskan pemindahan itu.

"Saya amat terharu bila tulang arwah ibu saya dikeluarkan semula dari liang yang agak sukar dibuka akibat akar pokok besar di tepi jalan yang menjalar di bawah tanah hingga menolak kedudukan beberapa kuburan yang sederet dengan kubur arwah ibu saya," ujar Dayang Sofia Awang Rambli yang datang dari Brunei Darussalam untuk menjadi saksi kepada pemindahan yang dilangsungkan pada pagi yang dituruni hujan rintik-rintik itu.

"Susah juga wak yang menggali semula kubur tu, kasihan saya tengok.

"Nasib baiklah kami sampai awal jadi penggalian semula dimulakan pagi-pagi lagi selepas kami mengambil nombor di pejabat pentadbiran di kawasan Pusara Aman," kata Dayang Sofia yang ditemani adik perempuannya, anak-anak dan cucu beliau.

KUBUR BERTINGKAT

Di Malaysia, keadaannya berbeza. Tanah perkuburan belum sampai ke tahap untuk dipindahkan ke tapak baru tetapi sekiranya terdapat sebarang kekurangan ruang untuk menyempurnakan persemadian jenazah di satu-satu kawasan, tanah perkuburan bertingkat menjadi alternatif.

Ini sudahpun dilakukan di Pulau Pinang. Menurut seorang pegawai di sebuah unit yang ditempatkan di pejabat Mufti Selangor, tapak kubur lama ditambak dengan tanah setinggi 0.9 meter terlebih dahulu sebelum jenazah baru dikebumikan di bahagian atas lot yang dikongsi bersama jenazah yang dikebumikan sebelumnya.

Apabila ditanya tentang keadaan ruang untuk tanah perkuburan di negeri Selangor masih mencukupi atau tidak, jawapan yang diberi:

"Tanah masih ada. Ruang masih mencukupi setakat ini. Masih belum ada keperluan untuk sebarang kehendak pembangunan dipenuhi. Bagaimanapun, Selangor turut akan mengaplikasikan konsep tanah kubur bertingkat, apabila perlu." -- BERNAMA

Tuesday, June 14, 2011

Bahaya Penyebaran fitnah


SEJAK zaman Rasulullah SAW lagi sudah wujud masalah khabar angin palsu dan fitnah, maka apatah lagi pada zaman serba canggih ini, apa-apa saja boleh berlaku. Justeru, setiap individu muslim hendaklah memikul tanggungjawab dalam setiap perkataannya agar tidak tersalah dalam berkata-kata atau mengada-adakan cerita kerana dosa lidah itu amat berat.
Dalam menerima sesuatu maklumat, selidik dulu fakta diterima dan jangan dipercayai seratus peratus tanpa ada sandaran bukti dan dalil yang kuat. Seelok-eloknya tanyalah kepada orang yang lebih mengetahui dan sekiranya maklumat itu berkaitan dengan peribadi seseorang, tanyalah terlebih dulu kepada empunya diri supaya perkhabaran yang diterima itu betul dan tepat.

Wednesday, June 8, 2011

Para Da’ie Yang Berada Di Pinggir Da’wah

Ramai di kalangan para da’ie masa kini yang belum benar-benar memahami tentang selok-belok dan tujuan yang harus mereka ikuti; memahami berapa jauhkah jarak yang akan mereka tempuh. Mereka belum insaf bahawa da’wah adalah pengorbanan. Mereka belum mengerti tentang apa yang harus mereka korbankan dalam melaksanakan tugasnya itu, baik yang berupa harta dan jiwa raganya. Hal ini menyebabkan para da’iee sering menjadi contoh yang tidak baik terhadap ajaran Islam yang mereka sampaikan kepada masyarakat.


Monday, June 6, 2011

Hati yang selalu muda

Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda: "Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda." Hadis ini telah diriwayatkan oleh Muslim.

Kehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda.


Wednesday, May 25, 2011

Kisah Hiba Dari Kubur Yang Tidak Bernama

Pada suatu petang, beberapa hari sebelum Ramadhan al-mubarak tiba, seorang ustazah yang terlibat sebagai seorang sukarelawan di sebuah rumah perlindungaan orang tua dipinggir negeri selangor membawa Mastika ke sebuah tanah perkuburan Islam. Menurut ustazah ituyang hanya mahu dikenali sebagai sabariah, dia ingin menunjukkan sesuatu kepada wartawan Mastika dan bercerita 'kisah pilu' yang selama ini ditanggungnya sejak menjadi sukarelawan di rumah berkenaan.

Saya tak pernah cerita pada sesiapa kecuali dengan Mastika saja sebab Mastika banyak sedarkan masyarakat , beritahu Ustazah sabariah semasa memarkir keretanya di hadapan tanah perkuburan islam tersebut.Ustazah sabariah lalu menunjukkan ratusan kubur tidak bertanda , tanpa nisan dan hanya dipacak kayu yang hampir reput. Tidak terdapat sebarang nama atau petunjuk pada kubur-kubur berkenaan. Kami lihat terdapat beberapa buah pusara yang masih merah tanahnya ,petanda baru disemadikan beberapa hari lalu.

Kubur Tak Bertanda



MAYAT tidak dituntut! Kita mungkin tidak pernah terfikir tentang perkara ini. Namun, ia bukan suatu perkara yang baru dalam masyarakat kita.Berbeza dengan nasib mereka yang disayangi, mayat-mayat yang tidak dituntut ini biasanya terdiri daripada golongan yang dibuang keluarga, sebatang kara atau hidup jauh di perantauan.Disebabkan ketiadaan saudara- mara atau waris yang mahu menuntut mayat-mayat ini, tanggungjawab lanjut terpaksa diambil alih oleh pihak hospital menerusi kerjasama jabatan agama Islam negeri atau pihak berkuasa tempatan.

Suara Penyiksaan Alam Kubur

"Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan berangsur- angsur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (adapula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.

Yang demikian itu, karena sesungguhnya Allah, Dialah yang haq dan sesungguhnya Dialah yang menghidupkan segala yang mati dan sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu"

[Al Hajj , Ayat 5 dan 6]


Wednesday, January 26, 2011

Jenazah misteri kejutkan tiga penggali kubur

KANGAR: Tiga penggali kubur tergamam menemui mayat dipercayai berusia lebih 30 tahun dalam keadaan elok dan sempurna, ketika menggali liang lahad untuk tujuan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Tok Paduka, di sini, semalam.

Mayat lelaki tidak dikenali itu ditemui jam 11.30 pagi sebaik ketiga-tiga penggali kubur berkenaan menggali liang lahad terbabit pada kedalaman 1.5 meter.

Berdasarkan maklumat, mayat lelaki itu bukan saja masih elok dari segi fizikal, malah kain kafan jenazah juga masih sempurna, kecuali sedikit kotor akibat diselaputi lumpur.

Bagaimanapun, kayu keranda yang digunakan untuk melindungi mayat sudah reput dimamah usia.


Tuesday, January 25, 2011

Pengalaman Sebenar: Mati hidup semula

TANGAN saya kiam. Tubuh saya kaku dan mulut saya bisu. Saya cuba gerakkan anak-anak jari tetapi langsung tidak boleh menguit. Tubuh pula dibungkus kain kapan dan saya sedang terbaring dalam liang lahad. Beberapa biji tanah kepal diletak di bawah kepala.

Kubur yang saya diami itu terasa amat sempit dan tidak selesa. Hanya anak mata saya saja boleh bergerak-gerak ke kiri dan kanan serta menjeling ke hujung kaki, manakala badan kaku bagai diikat dan dihimpit sesuatu.

Saya ternampak tali yang mengikat kain kapan di hujung kaki sudah terurai. Saya cuba meronta-ronta, tidak berjaya.

Kisah Penggali Kubur

Pak Mustapo, begitulah nama seorang penggali kubur profesional yang agak veteran jugak usianya. Walaupun beliau selalu berhadapan dengan kubur dan kematian tapi sikit pun beliau tak mengambil sebarang ikhtibar dari situasi tersebut. Apa yang penting baginya ialah duit.

"RM... RM... euro... dollar... pound sterling..." begitulah yang selalu beliau sebut sebutkan. Biasanya pendapatan beliau agak loaded jugak. Satu lubang kubur beliau akan menerima upah lebih kurang lima puluh ringgit.
Woyyoo... bulan ni saja dan enam orang mati. Jadi maknanya aku dah dapat tiga ratus ringgit. Huii... loaded le aku bulan ni. Tiap-tiap hari beliau selalu berharap supaya adaje orang yang meninggal dunia... lagi ramai orang yang mati lagi banyak la beliau akan mendapat duitnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...