SEJAK zaman Rasulullah SAW lagi sudah wujud masalah khabar angin palsu dan fitnah, maka apatah lagi pada zaman serba canggih ini, apa-apa saja boleh berlaku. Justeru, setiap individu muslim hendaklah memikul tanggungjawab dalam setiap perkataannya agar tidak tersalah dalam berkata-kata atau mengada-adakan cerita kerana dosa lidah itu amat berat.
Dalam menerima sesuatu maklumat, selidik dulu fakta diterima dan jangan dipercayai seratus peratus tanpa ada sandaran bukti dan dalil yang kuat. Seelok-eloknya tanyalah kepada orang yang lebih mengetahui dan sekiranya maklumat itu berkaitan dengan peribadi seseorang, tanyalah terlebih dulu kepada empunya diri supaya perkhabaran yang diterima itu betul dan tepat.
Berdasarkan peristiwa dialami Saidatina Aisyah, Rasulullah SAW menjatuhkan hukuman 80 sebatan atas kesalahan golongan penyebar fitnah. Hukuman ini dikira amat berat kerana menyebarkan fitnah bukan kesalahan ringan, malah ia amat bahaya jika tidak dibendung.
Maka pihak berwajib mesti mengambil langkah pencegahan supaya penyebaran maklumat palsu tidak berleluasa dan boleh memporak-perandakan hidup manusia.
Dalam era teknologi maklumat yang serba moden dan canggih, penyebaran dan penerimaan maklumat berlangsung dengan cepat dan pantas. Islam tidak pernah menolak kemajuan tetapi biarlah kemajuan ini seiring berasaskan etika dan nilai akhlak yang diterima pakai.
Fenomena fitnah dan khabar angin sering digunakan dalam menyebarkan maklumat yang tidak benar. Mereka menggunakan kemudahan canggih ini untuk melaga-lagakan sesama manusia sehingga yang bersahabat menjadi musuh, suami isteri bercerai gara-gara e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), surat layang, internet dan seumpamanya.
Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah dengan balasan azab yang amat pedih. Maksud firman Allah SWT dalam Surah an-Nur, ayat 19, bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya".
Ayat di atas diturunkan rentetan daripada peristiwa yang menimpa Rasulullah apabila isterinya Aisyah dituduh melakukan hubungan tidak baik dengan seorang sahabat bernama Safwan.
Berita bohong ini terjadi selepas peperangan Bani al-Mustaliq.Peperangan ini diserai kaum munafik. Dalam perjalanan pulang ke Madinah, rombongan tentera Islam singgah di satu tempat dan Saidatina Aisyah keluar dari kenderaannya untuk qadha hajat dan kalungnya jatuh menyebabkan beliau kembali ke tempat beliau qadha hajat untuk mencari kalung itu.
Pada masa sama tentera Islam berangkat meneruskan perjalanan ke Madinah yang pada sangkaan mereka Aisyah berada dalam kenderaan tunggangannya. Selepas Aisyah menjumpai kalungnya dia pun terus ke tempat persinggahan tentera Islam dan alangkah terkejutnya Aisyah apabila mendapati tiada lagi tentera Islam yang tinggal.
Saidatina Aisyah terlelap kerana kepenatan dan beliau dikejutkan dengan laungan seorang sahabat bernama Safwan bin Ma'tal yang kebetulan tercicir dari kumpulan tentera Islam. Safwan yang mengetahui Aisyah adalah isteri baginda segera mengucapkan ‘inna lillahi wa ilahi rajiun’ dan merendahkan tunggangannya untuk dinaiki Aisyah.
Sepanjang perjalanan mereka tidak bercakap walau sepatah perkataan pun sehingga mereka sampai ke Nahr al-Zahirah yang secara kebetulan tentera Islam pun berhenti di tempat yang sama. Apabila dilihat tentera Islam yang ada di kalangan mereka itu orang munafik, mereka mula menyebar cerita yang bukan-bukan berunsur fitnah kononnya Saidatina Aisyah ada melakukan hubungan sulit dengan Safwan. Cerita fitnah ini berlanjutan sehinggalah tentera Islam selamat sampai ke Madinah.
Rasulullah mengambil sikap mendiamkan diri sehingga wahyu turun bagi menjelaskan perkara sebenar. Ada di antara sahabat mencadangkan kepada Rasulullah supaya menceraikan Aisyah dan tidak kurang juga yang menyarankan baginda terus bersama isteri baginda.
Sebulan lamanya wahyu tidak turun dan dalam tempoh itu juga Saidatina Aisyah ditimpa demam. Sehingga pada satu hari turunnya ayat surah al-Nur ayat 11-20 yang menjelaskan mengenai kesucian Aisyah dan pembuktian dia tidak bersalah melakukan perkara curang. Sejurus selepas turunnya ayat, Rasulullah bersabda yang maksudnya: "Wahai Aisyah, kini Allah mengisytiharkan kesucianmu daripada segala noda".
Sahabat yang menyebarkan berita fitnah Aisyah dan Safwan dijatuhkan hukuman sebat atas kesalahan menuduh orang melakukan zina dan dirotan 80 kali sebatan. Keburukan dan kejahatan kaum munafik terdedah di khalayak sehingga ada di kalangan mereka berasa amat malu.
Categories:
Tazkirah
0 comments:
Post a Comment