Firman Allah Taala Yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya
mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya."
(Surah Al-A'raf: ayat 34)

Saturday, February 11, 2012

Apakah bala Allah hampir tiba?

Warga PK semua...moga kalian semua beroleh keberkatan dan rahmat Allah SWT sempena menyambut bulan yg mulia ini dan mari kita sama2 memakmurkan bulan Rejab ini dgn perkara2 yg dirahmati Allah insyaAllah. Dan di sini Shafiah cuba bawa satu hadis utk renungan kita bersama moga kita seme mendapat pengajaran dan keinsafan ttg azab Allah yg hampir tiba....

Ibnu Umar r.a menceritakan bahawa suatu ketika Rasulullah SAW mendatangi sejumlah sahabat di kalangan muhajirin, kemudian Rasulullah SAW bersabda:

"Wahai kaum muhajirin, lima perkara kalau kamu telah diuji dengannya (jika perkara-perkara itu sudah dikerjakan), maka tidak ada lagi kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung kepada Allah SWT, semoga kamu tidak menemui zaman itu.

Perkara-perkara itu ialah:

1. Tidak tampak perzinaan pada sesuatu kaum sehingga mereka bernai terus-terang melakukannya, melainkan akan berjangkit wabak penyakit yang menular (tha'un) dan mereka ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat terdahulu.

2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan/ukuran dan timbangan (curang dalam perdangangan), kecuali mereka akan diuji dengan kemarau penjang dan kesulitan mencari rezeki, dan kezaliman dari kalangan pemimpin mereka.

3. Dan tidak menahan mereka dari zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada binatang tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah SWT.

4. Dan tiada mereka menyalahi akan janji Allah dan RasulNya kecuali Allah akan menurunkan ke atas mereka, musuh yang akan merampas sebahagian dari apa yang ada di tangan mereka.

5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka Allah akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri.

Penerangan Hadis:

Marilah kita merenung sejenak hadis di atas dan membuat hisab ke atas diri dan masyarakat kita. Saban hari kita membaca akhbar dan mendengar berita tentang kepincangan umat Islam akhir zaman. Justeru itu, benarlah apa yang disebut oleh Rasulullah SAW tentang umat akhir zaman. Hakikat yang perlu kita teliti ialah, adakah kita sekarang hidup dalam keredhaan dan keberkatan Allah atau sebaliknya? Melihat kepada perkara yang berlaku hari ini, sewajarnya kita bertanya kepada diri kita: Apakah sumbangan kita untuk Islam, Allah dan RasulNya? Bukan sekadar kita menyalahkan individu yang terlibat dalam maksiat dan tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekitar kita dengan alasan "Bukan hal aku". Sekarang ialah masanya untuk kita memikirkan apakah tindakan kita selanjutnya. Mahukah kita melihat perkara ini berterusan. Atau kita tergolong dalam golongan yang ingin merebut pahala jihad di sisi Allah. Wallhu'alam.


...Mengalah dan memberi maaf bukan bererti kalah....Ia bererti mengutamakan kebaikan dan kasih sayang ALLAH....

Friday, February 10, 2012

Konflik dalam sesuatu organisasi

Dalam sesebuah organisasi, konflik merupakan perkara lumrah dan sesuatu yang perlu di atasi, sekiranya fenomena ini dapat dikurangkan, kemantapan sesebuah organisasi akan bertambah dan seterusnya boleh mencapai matlamat kearah kegemilangan yang dingini. Konflik boleh berupa pergeseran dan pertentangan di antara dua pihak akibat perbezaan nilai, kehendak, pendirian dan perasaan dalam usaha memenuhi keperluan dan matlamat. Ia merupakan fenomena biasa apabila wujud interaksi di antara dua pihak atau lebih manusia dan sentiasa berlaku dari masa kesemasa. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menangani kesan negatif akibat konflik dan salah satu pendekatan yang popular adalah pendekatan kaunseling .

Punca-Punca Konflik.
Dalam sesebuah organisasi pekerjaan, konflik bukan sahaja berlaku di antara pekerja dengan majikan atau di antara satu jabatan dengan jabatan lain malah sering juga berlaku konflik interpersonal dan konflik dalaman. Di antara punca-punca berlakunya konflik adalah :

1. Halangan untuk mencapai sesuatu matlamat oleh satu atau lebih pihak lain merupakan punca utama berlakunya konflik dalam sesebuah organisasi atau antara individu. Contohnya, keinginan seorang atau sebuah jabatan untuk mengajurkan seminar atau majlis untuk kepentingan diri atau organisasi dihalang oleh pihak lain kerana sebab-sebab tertentu boleh menimbulkan konflik.

2. Kekurangan sumber seperti kewangan, tenaga kerja dan fizikal yang terhad untuk diagihkan dengan adil kepada semua pihak. Merujuk kepada contoh di atas, halangan untuk mengadakan seminar atau majlis tertentu mungkin disebabkan oleh peruntukan kewangan atau tenaga kerja yang terhad.

3. Tiadanya koordinasi di antara dua atau beberapa pihak seperti pergantungan maklumat kepada pihak lain untuk mencapai sesuatu matlamat. Contohnya matlamat bahagian personel sesebuah organisasi untuk membuat pengambilan tenaga kerja baru telah terhalang kerana tiada maklumat lengkap mengenai keperluan tenaga kerja daripada ketua jabatan daripada bahagian-bahagian lain. Bagi konflik interpersonal ia bolah disebabkan oleh perasaan iri hati atau cmburu dengan kejayaan orang lain.

4. Dasar dan struktur perkhidmatan yang diamalkan oleh sesebuah organisasi. Konflik mungkin berlaku dalam soal struktur gaji. Contohnya perbezaan gaji yang terlalu jauh di antara struktur perjawatan atau gaji sama dalam struktur perjawatan tetapi beban tugas yang berlainan. Begitu juga dengan dasar sesebuah organisasi yang terlalu mementingkan keuntungan tanpa mempertimbangkan keselesaan tempat bekerja dan kebajikan pekerja.

Tanda-Tanda Wujudnya Konflik.
Tanda-tanda yang paling mudah untuk menentukan wujudnya konflik di antara dua atau lebih pihak adalah dengan terdapatnya rungutan-rungutan oleh sesuatu pihak.

Tanda-tanda lain yang menunjukkan wujudnya konflik dalam sesebuah organisasi adalah pekerja saling menyalahkan antara satu sama lain, wujudnya sabotaj antara individu atau jabatan, perasaan benci kepada individu atau jabatan, sering berlaku pertukaran pekerja atau pekerja itu ditukarkan dan prestasi pencapaian organisasi yang rendah.

Kesan Konflik
Konflik yang berlaku diantara dua atau lebih individu serta pihak boleh memberi kesan kepada pihak-pihak terbabit. Kesan ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu kesan positif (konstruktif) dan kesan negatif (distruktif). Bagi kesan positif, konflik yang berlaku boleh menyebabkan sikap berlumba-lumba untuk mencapai sesuatu matlamat. Dengan adanya sikap ini hasil atau prestasi sesuatu kerja akan meningkat.

Selain itu konflik juga dapat menyedarkan individu atau pihak organisasi mengenai kelemahan yang terdapat dan sekirannya mereka berfikiran positif, usaha untuk memperbaikinya akan dilakukan dan ini dapat meningkatkan kerjasama dan keharmonian ditempat kerja. Seterusnya ia menggalakkan berlakunya perubahan yang membina. Selain itu, konflik juga menggalakkan seseorang itu memikirkan punca sesuatu masalah dengan lebih mendalam, meningkatkan motivasi untuk menyelesaikan masalah dan memahami emosi serta tingkah laku diri sendiridan orang lain dalam usaha mewujudkan satu penyesuaian atau perseimbangan.

Konflik yang berlaku juga boleh menghasilkan kesan negatif. Boleh menimbulkan sikap benci membenci, kemurungan, permusuhan, saling tidak percaya, tuduh menuduh, tiadanya kerjasama, sabotaj dan sebagainya. Yang pastinya semua ini akan dapat menganggu keharmonian hubungan interpersonal dan jika ia berlaku dalam sesebuah organisasi, ia akan membantutkan usaha mencapai matlamat organisasi keseluruhannya. Oleh itu pihak tertentu seperti kaunselor dalam organisasi tersebut perlu memainkan peranannya untuk mencegah konflik daripada berlaku dan memulihkan keadaan sekiranya terdapat konflik yang mendatangkan kesan negatif.

Penyelesaian Konflik
Kaunselor atau orang atasan tertentu yang terdapat dalam sesebuah organisasi perlu mengetahui dan menguasai strategi atau kaedah tertentu untuk menyelesaikan sesuatu konflik terutamanya yang menghasilkan kesan negatif. Diantara strategi atau teknik yang perlu dikuasai oleh kaunselor atau orang atasan tertentu adalah :

1. Mengasingkan pihak yang berkonflik secara fizikal. Langkah ini akan mengurangkan pergaulan dan ini akan mengurangkan ketegangan di antara mereka. Langkah ini mempunyai lebih banyak keburukan dari kebaikannya. Ia bukan sahaja boleh menyebabkan kurangnya interaksi dan pergaulan yang menyebabkan tiada kerjasama tetapi juga menampilkan sikap negatif pihak pengurusan yang tidak mahu membaiki keadaan. Namun begitu langkah ini merupakan langkah yang baik jika ianya untuk sementara dan bentuk konflik yang serius seperti tiada peluang untuk memenuhi keperluan kedua-dua pihak.

2. Kaedah difusi atau penyatuan untuk menerapkan kesedaran kepada pihak-pihak yang berkonflik. Melalui teknik ini kaunselor akan menyelesaikan perkara-perkara kecil yang menyebabkan konflik dan membiarkan perkara-perkara besar. Ia bertujuan meredakan konflik yang berlaku atau mencuri masa untuk membolehkan kedua-dua pihak sedar mengenai kesilapan masing-masing dan berusaha memperbaiki punca konflik yang lebih besar. Keburukan strategi ini adalah punca konflik yang besar jika dibiarkan akan menyebabkan ia menjadi fokus dan menyebabkan keadaan yang lebih buruk.

3. Membawa pihak-pihak yang berkonflik ke arah berkerjasama melaui perundingan. Langkah ini adalah yang terbaik kerana melalui rundingan dan kerjasama, kedua-dua pihak boleh melihat pendirian masing-masing mengenai perkara yang menimbulkan konflik dan mengenalpasti pilihan yang paling sesuai untuk menyelesaikannya. Strategi ini walaupun yang terbaik namun adalah sukar untuk membawa pihak-pihak yang berkonflik ke meja rundingan sekiranya nilai dan pendirian yang jauh berbeza atau punca konflik yang terlalu besar.

4. Penyelesaian melalui tolak ansur. Melalui strategi ini pihak-pihak yang berkonflik akan bertolak ansur dan sedia melakukan pengorbanan melalui rundingan. Contohnya majikan akan menaikkan gaji yang dituntut oleh pekerja dan pekerja pula memberi jaminan meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran. Strategi ini hanya sesuai sekiranya pihak yang meminta dan memberi kuasa atau pengaruh yang seimbang. Ini bererti andainya pihak yang meminta atau sebaliknya tidak mempunyai kuasa, penyelesaian sukar dicapai.

5. Strategi perbincangan melalui perwakilan. Melalui teknik ini pihak-pihak yang berkonflik akan menghantar wakil masing-masing ke meja rundingan. Ini akan meningkatkan interksi dan komunikasi serta sering berlakunya konfrantasi. Melalui perundingan ini perbincangan mengenai punca yang menyebabkan konflik serta tawar menawar akan berlaku. Biasanya strategi ini digunakan oleh kesatuan sekerja untuk menuntut sesuatu dari majikan seperti kenaikan gaji dan keselesaan tempat kerja.

6. Kaedah persaingan. Melalui kaedah ini salah satu pihak yang berkonflik akan cuba memenuhi matlamatnya dan tidak memperdulikan kehendak pihak lawannya. Melalui strategi ini konfrantasi, bertegang urat, tekanan akan dilakukan sehinggalah satu pihak lainmenyerah kalah. Biasanya teknik ini digunakan oleh pihak majikan sesuatu organisasi dan dalam situasi di mana pengaruh atau kuasa di antara kedua-dua pihak seimbang.

7. Kaedah penyesuaian. Melalui kaedah ini satu pihak membiarkan pihak lawannya melakukan penyelesaian mengikut kehendaknya. Biasanya kaedah ini dilakukan kerana pihak tersebut menyedari kesalahan dan kesilapannya, sedar bahawa pengaruh atau kuasa lawannya terlalu besar, mementingkan keharmonian atau penyelesaian segera dan mempunyai matlamat untuk menuntut sesuatu yang lebih besar pada masa depan.

8. Teknik pemerasan otak (diperkenalkan oleh Dr. Alex Osborn). Melalui teknik ini pihak-pihak yang terbabit akan berkumpul dan setiap ahli akan bersama-sama memikirkan dan memberi idea ke arah penyelesaian sesuatu konflik. Setiap ahli bebas mengemukakan idea masing masing dan cuma dikritik kemudian. Biasanya kaedah ini sesuai untuk memperbaiki sesuatu dasar organisasi. Idea-idea yang dikumpulkan dan diperbincangkan sehingga cuma idea yang bernas sahaja dipilih.

9. Teknik senarai semakan. Melalui teknik ini pihak yang berkenaan akan menyenaraikan perkara-perkara dan keperluan kepada seuatu masalah. Butiran-butiran yang diprolehi akan dibandingkan dengan masalah sebenar yang menimbulkan konflik dan diserahkan kepada subjek atau pihak yang berkenaan untuk menentukan jalan penyelesaiannya. Kelemahan teknik ini adalah banyak masa terbuang kerana memikirkan butiran yang tiada berkaitan dengan masalah sebenar yang menimbulkan konflik.

10. Teknik Gordon, Melalui teknik ini perbincangan diadakan dalam satu kumpulan dan dipengerusikan oleh seseorang. Pengerusi tersebut sengaja tidak memahami masalah yang membawa kepada konflik dan membawa perbincangan tersebut ke arah pemerahan otak. Pengerusi akan memulakan perbincangan dengan perkara-perkara yang menimbulkan konflik. Tujuan teknik ini adalah untuk mendapat cuma idea yang bernas sahaja untuk menyelesaikan konflik.

Artikel ini dipetik dari teks bertajuk peranan kaunseling dalam memantapkan sesuatu organisasi yang di susun oleh; Ibrahim bin Taib M.Sc.(Guide and Counseling).
TiDaK DiNaMaKaN HiDuP JiKa TiDaK aDa KeKuSuTaN. TiDaK DiNaMaKaN KeMaTaNgaN JiKa TiDaK aDa KeKaLuTaN.

15 kesilapan ibubapa dalam mendidik anak-anak

"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar." (Al-Quran Surah At-Taghabun, 64:15)
Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba-Nya. Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : "Tahukah engkau siapakah orang yang mandul." Berkata para sahabat : "Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu Rasulullah SAW berkata : "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia." - (Maksud Al-Hadith )

1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa

1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah Saidul (penghulu) Istighfar Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 8-9) Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 38) Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)

1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128) Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74) Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti: menakutkan anak-anak dengan sekolah, menakutkan dengan tempat gelap, menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau, menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.

3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak, tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah). Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual). Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani

6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra' : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra' kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."-(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas. Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi dihadapan anak-anaknya.

8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

12. Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.

13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar.

14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.

Sumber: diubahsuai dari Kuliah Mingguan Surau An-Nur, 10 Jun 1998 oleh Ustaz Khalid Haji Mohd Isa.

Thursday, October 20, 2011

Mungkinkah akan berulang selamanya...

By Yulius Prasetyo Rahayu

Hari per-1, tahajudku tetinggal
Dan aku begitu sibuk akan duniaku
Hingga zuhurku, ku selesaikan saat ashar mulai memanggil
Dan sorenya ku lewati saja masjid yang mengumandangkan azan magrib
Dengan niat ku lakukan bersama Isyak itupun terlaksana setelah acara tv selesai

Hari ke-2, tahajudku tertinggal lagi
Dan hal yang sama aku lakukan sebagaimana hari pertama

Hari ke-3 aku lalai lagi akan tahujudku
Temanku memberi hadiah novel best seller yang lebih dr 200 halaman
Dalam waktu tidak 1 hari aku telah selesai membacanya
Tapi… enggan sekali aku membaca Al-qur’an walau cuma 1 juzz
Al-qur’an yg 114 surat, hanya 1,2 surat yang ku hafal itupun dengan terbata-bata
Tapi… ketika temanku bertanya tentang novel tadi betapa mudah dan lancarnya aku menceritakan

Hari ke-4 kembali aku lalai lagi akan tahajudku
Sorenya aku datang ke selatan Jakarta dengan niat mengaji
Tapi ku biarkan ustaz ku yang sedang mengajarkan kebaikan
Ku biarkan ustaz ku yang sedang mengajarkan lebih luas tentang agamaku
Aku lebih suka mencari bahan obrolan dengan teman yang ada disamping kiri & kananku
Padahal bada magrib tadi betapa sulitnya aku merangkai
Kata-kata untuk ku panjatkan saat berdoa

Hari ke-5 kembali aku lupa akan tahajudku
Ku pilih shaf paling belakang dan aku mengeluh saat imam sholat Jumaat kelamaan bacaannya
Padahal betapa dekat jaraknya aku dengan televisi dan betapa nikmat,
serunya saat perpanjangan waktu sepak bola favoritku tadi malam

Hari ke-6 aku semakin lupa akan tahajudku
Ku habiskan waktu di mall & bioskop bersama teman2ku
Demi memuaskan nafsu mata & perutku sampai puluhan ribu tak terasa keluar
Aku lupa.. waktu diperempatan lampu merah tadi
Saat wanita tua mengetuk kaca mobilku
Hanya uang dua ratus rupiah ku berikan itu pun tanpa menoleh

Hari ke-7 bukan hanya tahajudku tapi subuh ku pun tertinggal
Aku bermalas2an di tempat tidurku menghabiskan waktu
Selang beberapa saat dihari ke-7 itu juga
Aku tersentak kaget mendengar khabar temanku kini
Telah terbungkus kain kafan padahal baru tadi malam aku bersamanya
dan malam tadi dia dengan misscallnya mengingatkan aku tentang tahajud
kematian.... kenapa aku baru gemetar mendengarnya?
Padahal dari dulu sayap2nya selalu mengelilingiku dan
Dia bisa hinggap kapan pun dia mau

Dari hari ke hari, bulan dan tahun
Yang wajib jarang aku lakukan apalagi yang sunah
Kurang mensyukuri walaupun KAU tak pernah meminta
Berkata kuno akan nasehat ke-2 orang tuaku
Padahal keringat & airmatanya telah terlanjur menetes demi aku

Tuhan andai ini merupakan satu titik hidayah
Walaupun imanku belum seujung kuku hitam
Aku hanya ingin detik ini hingga nafasku yang saat nanti tersisa
Tahajud dan sholatku meninggalkan bekas
Saat aku melipat sajadahku…..
Amin….

Saturday, October 1, 2011

Allah Ajarkan Rahsia Kebahagiaan Hidup

Assalamualaikum w.b.t.,
Apa khabar sahabat semua? Semoga sentiasa dirahmati dan dikasihi Allah. Sudahkah kita benar-benar menghadapkan diri dan kehidupan kita sepenuhnya kepada Allah? Berapa peratus? Seratus peratus? Lima puluh peratus? Atau baru sepuluh peratus?

Tahukah anda bagaimana mahu mengukur tahap anda menghadap kepada Allah? Mudah saja. Lihat sejauh mana anda menghadapkan diri kepada Allah sewaktu solat. Berapa peratuskan solat anda itu benar-benar sedar kepada Allah dan betul-betul menghadap kepada-Nya dan bukan menghadap kepada yang selain-Nya seperti kerja yang belum disiapkan, ikan di kuali atau kunci yang hilang.

Sebaik anda mengangkat takbiratul ihram, perhatikan kesedaran anda. Anda boleh berada dalam dua kesedaran, pertama kesedaran kepada Allah dan merasa dilihat Allah atau kesedaran nafs iaitu perkara-perkara berkaitan dunia dan hawa nafsu. Sekiranya kesedaran anda kepada Allah hanya sekitar sepuluh peratus sahaja dari keseluruhan solat itu, maka begitu jugalah sepuluh peratus sahaja anda menghadapkan diri dan kehidupan kepada Allah. Itulah cara mengukurnya kerana solat menggambarkan diri dan kehidupan anda.

Bayangkan di dalam sebuah kelas, sekiranya terdapat pelajar yang bercakap semasa guru bercakap, itu menunjukkan sikapnya yang sama di luar kelas iaitu tidak menghormati orang lain. Sikap kita di dalam solat sama dengan sikap kita di luar solat. Justeru, inilah rahsianya untuk kita mengubah sikap dan kehidupan kita kepada yang lebih baik. Iaitu dengan membaiki solat kita. Inilah latihan yang Allah sediakan.

Solat adalah suatu perbuatan yang dibuat berulang-ulang kali. Setiap perbuatan yang dibuat berulang kali akan menjadi perilaku atau sikap seseorang yang melakukan perbuatan itu. Justeru Allah mewajibkan hamba-Nya untuk solat dengan khusyuk iaitu dengan menghadapkan dirinya dengan penuh kepada Allah ketika solat. Inilah yang terungkap dalam Doa pembuka solat iaitu Doa Iftitah, "Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku ke wajah Allah yang menciptakan langit dan bumi" dan kalimah seterusnya "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah".

Bayangkan sekiranya seseorang itu menghayati apa yang dibacanya dalam doa Iftitah ini iaitu dengan melakukan apa yang dibaca bukan sekadar membaca tanpa sedar, pastinya ia akan berubah menjadi perilaku. Bagaimana dia benar-benar menghadapkan wajahnya kepada Allah ketika dia membaca doa Iftitah pastinya dia terlatih untuk menghadapkan diri dan kehidupannya hanya untuk Allah. Inilah rahsia solat yang khusyuk. Apabila seseorang berjaya untuk solat dengan khusyuk maka dia juga berjaya menghadapkan diri dan kehidupannya kepada Allah di luar solat. Dia juga akan berjaya mencegah perbuatan keji dan mungkar kerana dia sentiasa sedar akan Allah setiap waktu dan ketika. Firman Allah; ".. Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar"

Ramai umat Islam hari ini mempunyai masalah untuk solat dengan khusyuk. Apakah dan dimana puncanya masalah ini? Pertamanya kerana tidak adanya ilmu bagaimana kaedahnya untuk khusyuk di dalam solat. Dari kecil, kita diajar dengan lengkap rukun-rukun dan sunat-sunat solat, kita diajar apa yang membatalkan solat tapi jarang sekali yang mengajar bagaimana untuk khusyuk dengan solat. Justeru, ilmu untuk solat dengan khusyuk tersangatlah penting agar solat kita menjadi solat yang khusyuk dan menghadapkan diri kepada Allah. Barulah hidup kita akan betul menghadap kepada Allah dan tidak selain-Nya. Dengan itu benarlah kalimah syahadah yang kita ucapkan bahawa tidak ada Tuhan lain yang kita hadapkan wajah kita selain Allah; tidak menghadap kepada wang dan harta, tidak menghadap kepada pangkat dan kemasyhuran yang dengan itu kita telah mensyirikkan Allah.

Keduanya, setelah kita belajar solat dengan khusyuk, mengapa kita masih mempunyai masalah untuk khusyuk? Ini adalah kerana dalam diri kita ada nafs (hawa nafsu) yang sering mengajak kepada kejahatan. Diri kita masih mempunyai banyak keinginan yang berkaitan dengan dunia.

Justeru ketika kita mahu menghadapkan diri kepada Allah di dalam solat, keinginan-keinginan dunia dari hawa nafsu akan menarik kesedaran terhadap Allah dan membawa kita kesedaran dunia dan isinya. Justeru solat kita menjadi tidak khusyuk kerana jiwa tidak menghadap kepada Allah tetapi kepada selain-Nya. Bagaimana untuk menghadapi masalah ini?

Allah sudah menyiapkan senjata untuk kita menawan hawa nafsu kita agar dia menjadi lemah dan tidak mampu untuk menarik perhatian kita dari Allah. Senjata itu adalah Puasa.

Hawa Nafsu kita berasal dari dorongan jasad kita. Puasa melemahkan jasad dan secara otomatisnya melemahkan dorongan untuk membesarkan hawa nafsu. Justeru latihan 30 hari di bulan Ramadhan adalah senjata yang sangat hebat untuk menawan hawa nafsu itu. Bayangkan setiap hari kita melemahkan jasad dan dorongannya. InsyaAllah di akhir bulan Ramadhan, kita akan berjaya menawan hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan itu dan akhirnya berjaya solat dengan khusyuk dan menghadapkan secara penuh kepada Allah. Justeru kembalilah kita kepada Allah dalam keadaan suci dan itulah sebab kita sering mendengar ungkapan "kembalilah ke fitrah yang suci" di bulan Ramadhan.

Allah memberikan kita senjata yang kedua untuk benar-benar menawan hawa nafsu kita. Senjata yang kedua adalah zakat. Di dalam bulan Ramadhan kita digalakkan berzakat atau bersedekah. Memberi yang digalakkan Allah adalah memberi sesuatu yang dicintai. Contohnya seorang yang mempunyai banyak kambing, haruslah memilih kambing yang terbaik untuk disedekahkan. Mengeluarkan atau memberi harta yang dicintai ini akan membebaskan kita dari ikatan kecintaan harta dan dunia yang sering menarik kesedaran kita dari kesedaran ke Allah kepada kesedaran dunia dan isinya. Justeru dengan senjata yang kedua ini, kita akan lebih mudah untuk solat dengan khusyuk.

Apa jadi selepas bulan Ramadhan? Senjata sudah tidak digunakan lagi?

Pastinya kita memerlukan senjata ini setiap waktu dan ketika kerana kita harus menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah setiap bulan dan bukan hanya di bulan Ramadhan. Allah menggalakkan hamba-Nya untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal. Justeru sebaiknya cubalah berpuasa enam hari berturut-turut agar dapat manfaat seperti bulan Ramadhan di mana kita benar-benar memerangi hawa nafsu yang cuba membesar dengan 'open house' di bulan Syawal. Jangan lupa untuk menggunakan juga senjata yang kedua iaitu zakat atau sedekah ketika kita berpuasa enam itu.

Apa yang berlaku selepas puasa enam? Rasulullah mengajar kita untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Puasa itu senjata yang tidak harus ditinggalkan. Justeru untuk memastikan kita mampu untuk sentiasa solat dengan khusyuk di mana kesedaran kita ke Allah berjaya dipertahankan (kerana hawa nafsu yang menarik kesedaran itu sudah berjaya dilemahkan dan ditawan) maka kita harus sentiasa menggunakan senjata Puasa ini secara berterusan.

Jangan lupa juga untuk keluarkan zakat atau bersedekah apabila melakukan Puasa Sunat Isnin dan Khamis. InsyaAllah kita dapat menghidupkan suasana Ramadhan setiap minggu; Isnin, Khamis berpuasa, Jumaat kita raya (ada khutbah Jumaat) dan jangan lupa bila ke Masjid untuk solat berjamaah, hulurkan wang yang kita cintai untuk jalan Allah atau kepada sesiapa yang memerlukan. Justeru orang Islam itu bersedekah setiap minggu.

Inilah rahsia hebat yang sering kita terlepas pandang. Solat, Puasa dan Zakat hanya jadi rutin beragama yang dilaksanakan tanpa memahaminya. Justeru di bulan Ramadhan yang sewajarnya bulan menawan hawa nafsu jadi bulan yang paling kuat membesarkan hawa nafsu, hawa nafsu makan semasa berbuka, hawa nafsu menukar perabot rumah, memberi emas, membeli langsir dan sebagainya. Jadilah Puasa kita itu hanya sekadar lapar dan dahaga yang disebutkan oleh Rasululah.
Dengan Ilmu solat dengan khusyuk dan dua senjata hebat, Puasa dan Zakat, insyaAllah kita akan mampu Solat dengan benar-benar menghadapkan wajah kita kepada Allah sepenuhnya. Justeru, begitulah juga kita di luar solat, insyaAllah benar-benar mampu menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah dan menjadikan hidup dan mati kita hanya untuk Allah. Inilah erti Kalimah Syahadah yang kita sebutkan. Barulah kita dikatakan telah menyempurnakan Syahadah kita.

Rumusannya, Solat adalah cermin diri dan kehidupan kita. Bagaimana kita solat, itulah diri dan kehidupan kita. Itulah sebab kenapa Solat adalah soalan yang pertama ditanya oleh Allah bila kita kembali menghadap-Nya satu hari nanti. Baik solat kita, baiklah kehidupan kita dan masuklah kita ke Syurga yang disediakan untuk orang-orang yang menjaga solatnya.

Belajarlah Solat dengan Khusyuk, rajinlah berpuasa dan lepaskanlah ikatan kecintaan kepada dunia dengan sering bersedekah dan berinfaq di jalan-Nya. Semoga kita dipanggil pulang oleh Allah sebagai jiwa yang tenang dan berjaya memasuki Wilayah Nafsul Mutmainnah yang didiami oleh ruh para kekasih Allah. Amin Ya Allah.

Firmah Allah yang bermaksud: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan puas lagi diredhaiNya, Masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu" (Al-Balad: 27-30)

Oleh Hasnul

Sunday, September 11, 2011

Syariat, Tarekat, Hakikat, Makrifat

Islam adalah iman , ilmu dan amal .Iman adalah persoalan aqidah atau ketuhanan.Ilmu dan amal pula, ada yang berbentuk lahiriah dan ada yang berbentuk batiniah atau rohaniah.
Bertolak dari aqidah, maka timbullah keperluan untuk beribadah sama ada ibadah lahir mahupun ibadah batin. Setelah Tuhan dikenali,dicintai dan ditakuti, maka akan terdoronglah kita untuk menyembah danmengagungkan- Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Akan
terdoronglah kita untuk melaksanakan segala suruhan dan meninggalkansegala larangan-Nya. Akan terdoronglah kita untuk patuh dan taat kepada-Nya. Akan terdoronglah kita untuk berjuang dan berkorban kerana-Nya.

Ilmu lahiriah ialah ilmu feqah yang bersangkut paut dengan amalan lahir. Ilmu batiniah atau rohaniah pula ialah ilmu tasawuf yang bersangkut paut dengan amalan hati. Amalan sama ada yang lahir atau
yang batin mestilah didorong oleh aqidah. Ia mesti didorong oleh rasa cinta dan takut kepada Allah . Barulah amalan itu akan bermakna dan akan mempunyai erti dan maksud yang betul. Amalan adalah jalan, kaedah atau cara untuk membukti dan merealisasikan rasa cinta dan rasa takut
kita kepada Allah.

Bila Allah sudah dikenali, barulah kita betul-betul boleh mempraktikkan atau melaksanakan agama. Barulah Allah itu menjadi matlamat dan tumpuan ibadah dan pengabdian kita. Barulah amalan kita
itu ada tempat tujunya. Barulah akan terjalin dan tercetus hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Dalam beragama, kenal Allah itu perkara pokok yang mesti didahulukan. Selepas itu baru timbul soal amalan. Ini sesuai dengan hadis yang bermaksud : "Awal-awal agama mengenal Allah"

Amalan agama yang tidak didahului oleh rasa cinta dan rasa takut kepada Allah sudah tentu tidak akan membawa kita kepada-Nya. Sudah pasti ia didorong oleh perkara-perkara dan kerana-kerana yang lain. Mungkin kerana mahukan Syurga. Mungkin kerana takutkan Neraka. Mungkin kerana mahukan pahala dan fadhilat. Walaupun tujuan-tujuan ini tidak salah kerana ianya sebahagian dari janji-janji Tuhan, tetapi maqamnya terlalu rendah. Justeru itu hasil dan manfaat dari ibadah seperti ini
juga adalah rendah.

Ibadah yang didorong oleh perkara-perkara seperti ini, walaupun banyak, tidak akan dapat mengubah akhlak dan peribadi kita. Ia tidak akan menimbulkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan di dalam hati kita. Kerana itu, ia tidak akan mampu menyuburkan sifat-sifat mahmudah dan membakar sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita. Ini kerana Tuhan tidak dilibatkan dan tidak dijadikan matlamat dalam ibadah kita. Kalau Tuhan tidak dilibatkan, maka hati akan kurang berperanan kerana
hati itu wakil Tuhan. Ibadah yang tidak ada Tuhan ini sudah tentu tidak ada rohnya, tidak ada rasanya dan tidak ada khusyuknya. Bila hati tidak berperanan, maka tidak akan ada penghayatan dan penjiwaan dalam ibadah.

Tambahan pada itu ibadah kerana hendakkan Syurga, pahala dan fadhilat dan kerana takutkan Neraka ini ada risikonya. Disebabkan Tuhan dan hati tidak dilibatkan sama dalam ibadah seperti ini, maka ibadah ini tidak ada kekuatannya. Lama kelamaan, ia akan dicelahi dengan rasa bosan dan jemu. Sukar hendak diistiqamahkan. Ia juga mudah dihinggapi penyakit riyak, ujub dan sum'ah. Ini semua akan memusnahkan pahala  ibadah. Lebih-lebih lagilah kalau tujuan dan niat ibadah itu adalah
untuk dipuji, untuk disanjung, untuk mendapat nama dan glamour, untuk menunjuk-nunjuk dan kerana sebab-sebab lain yang berbentuk duniawi. Sudah tentulah ia tidak ada nilai apa-apa. Malahan ibadah seperti ini akan Allah lemparkan semula ke muka pengamalnya berserta dengan laknat-Nya sekali. Ibadah seperti ini tidak akan mendekatkan seseorang itu dengan Allah. Malahan dia akan bertambah jauh dari Allah. Dia berbuat maksiat dan kemungkaran dalam ibadahnya. Lagi banyak dia
beribadah, lagi dia rasa sombong, angkuh, riyak, ujub, rasa diri mulia, rasa diri baik dan sebagainya. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia pandang orang lain hina, jahat dan tidak berguna.

Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada urutan dan susunannya. Ada "progression" nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia bermula dengan Syariat , kemudian dengan Tariqat , diikuti pula dengan hakikat dan diakhiri dengan Makrifat .

Syariat.
Ini adalah ilmu sama ada ilmu bagi amalan, lahir (feqah) atau ilmu bagi amalan hati (tasawuf). Ini adalah langkah pertama dalam tertib beramal. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan, hukum-hakam, halal haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa ilmu, kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut sesuka hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak terima, kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam, kita mesti belajar. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat biji benih.

Tariqat .

Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan sama ada amalan lahir mahupun amalan hati secara istiqamah dan bersungguh-sungguh. Ilmu (syariat) yang ada perlu dilaksanakan. Ini dinamakan juga tariqat wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan sesetengah pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih tadi (syariat) hingga ia bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun.

Hakikat.

Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita amalkan syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup
syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah. Buah tariqat adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu atau pencapaian maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar , maqam redha , maqam tawakkal , maqam tawadhuk , maqam syukur dan berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja (sebiji buah sahaja) atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam yang berbeza dari satu pokok yang sama. Hakikat adalah perubahan jiwa atau perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat dengan faham dan dihayati.

Makrifat .

Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang dapat dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan rahsia-rahsia- Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al Arifbillah .

Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini bermula dari yang lahir dan berakhir dengan yang batin. Syariat dan tariqat itu terletak dalam kawasan lahir. Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke dalam hati dan rohani. Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah dicapai kerana ia hanya melibatkan usaha lahir.

Thursday, August 25, 2011

Lazat Dunia Azab Alam Barzakh

SEKARANG ini sesekali saya duduk-duduk bersama-sama orang tasawuf, orang tarikat. Suatu hari terkesan saya dengan pandangan ini: “Semakin meningkat usia kita (terutama yang sudah memasuki usia tua, mulai 50 tahun) kurangkan beban memburu dunia sebaliknya meningkatkan amalan untuk ke alam sana.”

Teringat saya kata-kata hikmat yang ditulis oleh seorang ahli pondok: “Walau banyak mana pun harta yang kamu kumpulkan di muka bumi ini, suatu hari nanti akan musnah jua hartamu itu hinggalah kamu masuk ke perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah melakukan maksiat di muka bumi ini, maka suatu hari nanti kamu tetap akan diazab dalam perut bumi.”

Beliau melanjutkan dengan berkata: “Walau bagaimanpun kamu berlagak dan bertakabur di atas muka bumi ini, suatu hari nanti kamu tetap akan dihina dalam perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah dengan memakan dan minum minuman haram, suatu hari nanti tubuhmu tetap akan menjadi makanan ulat.”

Ya, sesungguhnya jarak masa kehidupan sekarang ini (berada di atas bumi) dengan berada di bawahnya (memasuki kubur) tersangat dekat, tetapi kebanyakan orang tidak mempedulikannya, mereka dibuai kelekaan untuk memperbanyak habuan dunia seperti harta benda, pangkat dan kuasa. Dalam mengejar impian ini, mereka tidak peduli sama ada perlu memijak kawan dan juga lawan malah sehingga sanggup menikam kawan dari belakang termasuklah melakukan fitnah. Hal inilah yang berleluasa sekarang ini.

Seorang bijak pandai pula mengandaikan perjalanan kehidupan ini bagaikan kembara ke puncak gunung. Di kaki gunung (sebelum memulakan pendakian), tentulah beban kita banyak (misalnya makanan, minuman dan pelbagai peralatan) tetapi semakin tinggi dakian kita, bebanan semakin berkurangan kerana sebahagian makanan sudah dihabiskan sehinggalah sampai ke puncak gunung beban dipikul hampir habis; tetapi hal sebaliknya berlaku kepada sebahagian besar manusia.

Selain memikul bebanan yang berat, mereka mengutip sisa-sisa di sepanjang laluan menjadikan perjalanan mereka semakin lama semakin sukar. Mereka sendiri menggalas beban yang tidak diperlukan malah ada yang memikul peti sejuk untuk ke puncak gunung yang bersalji. Cuba kita teliti kehidupan kita, apakah kita sudah rasa memadai dengan apa yang kita ada? Malah ada hadis yang menyebut jika kita ada dua buah lembah emas, kita rasa itu tidak memadai, kita mahu lembah ketiga dan seterusnya.

Demikianlah perjalanan kehidupan yang meletihkan. Peluang hidup disia-siakan, dihabiskan semata-mata bagi mengumpul harta, dinar dan emas perak yang semuanya tidak laku apabila sampai di puncak gunung nanti (matilah).

Apabila emas, perak, pangkat dan kuasa menjadi buruan, berleluasalah gejala sosial yang maha hebat sekarang ini. Masyarakat sudah teruk, bahana keruntuhan institusi keluarga sudah dirasai dengan meningkatnya kes bunuh, bunuh diri, penderaan, zina, pembuangan bayi dan aneka maksiat lain.

Itulah kawan fikir saya pada majlis tasawuf berkenaan berkata, semakin meningkatnya usia kita yang menghampiri kematian, kurangkanlah sedikit demi sedikit kelazatan dunia sebaliknya tingkatkan amalan ke alam sana sehingga apabila hampir ‘yakin’ (mati), dunia dapat kita tinggalkan dengan reda dengan keberuntungan akhirat seolah-olah sudah memanggil-manggil kita!

Sumber klik

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...