Firman Allah Taala Yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya
mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya."
(Surah Al-A'raf: ayat 34)

Monday, January 28, 2013

Cara Memperkukuhkan Tali Persaudaraan


Berbicara persaudaran Islam, mungkin ada dikalangan kita menganggap suatu yang remeh. Tapi sedar atau tidak sedar persaudaraan Islam dikalangan umat Islam makin hampir tipis. Bahkan dalam jammah Islam pun persaudaraan Islam tidak sebagaimana yang diajukan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Agama Islam telah meletakkan dasar-dasar praktis dan cara yang positif dalam usaha memperkukuhkan ikatan cinta kasih dan dalam memperdalamkan roh ukhwah. Jika peraturan-peraturan ini di pegang teguh oleh umat Islam maka persaudaraan (ukhwah) itu akan semakin kukuh. Beberapa panduan untuk tercapainya kekukuhan roh ukhwah cara persaudaraan :

MEMBERITAHU KEPADA SAUDARA YANG DICINTAINYA - Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaknya ia memberitahu kepadanya." HR Abu Daud dan Tirmizi.

BERDOA UNTUK MEREKA - Menurut riwayat Muslim bahawa Rasullah bersabda: "Tidak seorang hamba mukmin berdoa untuk saudaranya dari kejauhan kemungkaran melainkan malaikat berkata; dan bagimu juga seperti itu."

MEMBERI SENYUMAN KETIKA BERTEMU - Seperti yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan dari Abu Dzar r.a bahawa Rasulullah bersabda ertinya: "Janganlah engkau remehkan kebaikan apa saja (yang datang dari saudaramu). Dan jika engkau berjumpa saudaramu maka berikan dia senyuman kegembiraan." (HR Muslim)

BERJABAT TANGAN BILA BERTEMU - Rasulullah SAW menganjurkan umatnya bila bertemu dengan saudara-saudara agar cepat-cepatlah berjabat tangan sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Abu Daud dari Barra: "Tidak ada dua orang mukmin yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan keduanya diampuni dosanya sebelum berpisah."

MENGUNJUNGI SAUDARA - Dalam kitabnya Al Muwathtaa Iman Malik meriwayatkan: Bersabda Nabi Muhammad SAW bahawa Allah berfirman : "Pasti akan mendapat cintaku orang-orang yang mencintai kerana Aku, dimana keduanya saling berkunjung kerana Aku dan saling memberi kerana Aku."

MENYAMPAIKAN UCAPAN SELAMAT - Diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Barangsiapa mengucapkan selamat kepada saudaranya ketika saudaranya mendapat kebahagiaan nescaya Allah menggembirakan pada hari kiamat." (HR Tabrani). Rasulullah SAW pernah mengajar hal tersebut seperti dicontohkan dalam hal-hal sebagai berikut: Berkenaan dengan kelahiran anak: "Semoga anda diberkati atas pemberianNya itu dan bersyukur dengan Yang Memberi Rezeki mulai dari kelahiran dilimpahi dengan kebaikan hingga hari tuanya." (HR Husein bin Ali RA)

Apabila kembali dari menunaikan haji: "Semoga Allah menerima hajimu, mengampuni dosamu, dan menggantikan nafkahmu." (HR Ibnu Sunni dari Ibnu Umar RA)

Bila salah seorang saudara menikah : "Mudah-mudahan Allah mengekalkan keberkatan atasmu dan mengumpulkanmu berdua di dalam kebaikan." (HR Abu Daud dan Tirmizi dari Abu Hurairah) Ucapan Selamat Aidil Fitri : Semoga Allah menerima amal kita, membalas kebaikan saudara dengan ucapan selamat: "Semoga Allah memberkatimu, keluargamu, hartamu, dan mudah-mudahan Allah membalas kebaikan kepadamu." (HR Nasa' dari Ibnu Majah)

MEMBERI HADIAH - Imam Dailami meriwayatkan dari Anas dengan marfu' bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Hendaklah kalian saling memberi hadiah kerana hadiah itu dapat mewariskan rasa cinta dan menghilangkan kekotoran hati."

Dalam hadisnya marfu, Imam Thabrani meriwayatkan dari Aisyah RA bahawa Rasulullah bersabda ertinya: "Biasakanlah kamu saling memberi hadiah nescaya kamu akan saling mencintai."

MEMPERHATIKAN KEPERLUAN SAUDARA - Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. Bahawa Rasulullah SAW bersabda ertinya: "Siapa yang meringankan beban penderitaan seorang mukmin di dunia pasti Allah akan meringankan beban penderitaannya di akhirat kelak. Siapa yang memudahkan orang dalam keadaan susah pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat.

Siapa yang menutupi aib seseorang muslim pasti Allah akan menutupi (aibnya) di dunia dan akhirat. Dan Allah akan selalu menolong hambaNya jika hamba tersebut menolong saudaranya." (HR Muslim)

MENEGAKKAN HAK-HAK PERSAUDARAAN - Untuk memperkukuhkan ukhwah maka adalah wajib bagi kita untuk menunaikan hak-hak yang dimiliki saudara lain, seperti menziarah saudaranya yang sakit, mendoakannya ketika bersin, dan menolong bagi yang teraniaya (dizalimi).

Oleh kerana itu adalah tidak perlu ragu lagi bagi kita bila seorang muslim memberitahu saudaranya bahawa ia mencintainya, membiasakan mendoakan saudaranya dari jauh, bersikap senang apabila berjumpa dengan saudaranya, membiasakan berjabat tangan bila berjumpa, mengucapkan salam, memberi hadiah, saling menziarahi.

Maksud dari semua itu adalah tidak lain untuk menunjukkan rasa cinta kasih sekali gus untuk mempereratkan ukhwah bila dalam melaksanakannya adalah betul-betul ikhlas kerana Allah SWT.

Friday, January 18, 2013

Berdiam diri cara mudah elak fitnah


LISAN atau lidah adalah anggota tubuh manusia terpenting dan menjadi satu daripada nikmat Allah yang wajib disyukuri. Dengan lidah, manusia dapat bertutur kata dan berhubung sesama manusia, arahan kepada haiwan dan menzahirkan sesuatu dalam bentuk perkataan kepada Allah.

Gabungan lidah, rongga mulut dan olahan nafas daripada kerongkong melahirkan perkataan dan nada suara sebagai bahasa pertuturan ketika berkomunikasi. Individu tidak mampu bercakap dianggap cacat atau bisu.

Orang yang sempurna kemampuan lidahnya perlu bersyukur dan melahirkan suara enak didengar dan memberi manfaat. Malah, dosa manusia banyak berpunca daripada keterlanjuran mulut yang tidak dikawal. Kata orang kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana. Sebab itulah, besar faedahnya sesiapa yang mampu menjaga lidahnya daripada memperkatakan tidak baik.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Aku memberi jaminan sebuah rumah dalam kebun syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan, meskipun dia benar. Aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tengah syurga bagi orang yang tidak berbohong walaupun sekadar bergurau. Aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tempat paling tinggi di dalam syurga bagi orang mempunyai budi pekerti baik.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Tutur kata baik boleh diumpamakan seperti mutiara yang disukai semua orang. Oleh sebab itu, tutur kata baik akan menarik minat orang lain mendengarnya dengan perasaan ceria, kagum dan mengiyakan. Tarikan kepada kata-kata akan meletakkan penutur sebagai orang disenangi, disanjungi, dicontohi dan diterima kata-kata itu untuk tujuan kebaikan.

Justeru, Islam amat prihatin terhadap cara bercakap agar tidak mengeluarkan kata-kata tidak baik. Setiap perkataan dikeluarkan dari mulut membabitkan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah.

Percakapan juga seperti perbuatan melambangkan tahap keimanan seseorang. Orang beriman menjaga setiap tutur katanya bagi mengelak perkara buruk akibatnya seperti mengumpat, menyebar fitnah, mengeji dan berbohong.

Memandangkan besarnya bencana berpunca daripada lidah, Rasulullah menganjurkan sesiapa yang tidak mampu mengawalnya daripada berkata-kata tidak baik, lebih baik dia mendiamkan diri.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka bercakaplah perkara yang baik atau mendiamkan diri.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).

Berdiam diri adalah cara paling mudah menyelamatkan diri daripada fitnah, mengumpat dan berkata-kata perkataan tidak perlu. Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang diam, dia akan selamat.” (Hadis riwayat Ahmad).

Beruntunglah sesiapa yang mampu menjaga kata-katanya sehingga menjadi lambang ketulusan budi dan pekertinya. Sesiapa yang sentiasa berkata benar dan disenangi orang lain, hidupnya dalam kesejahteraan dan damai.

Memang tidak dinafikan sukar berdiam diri, terutama ketika bersama ahli keluarga, kawan dan rakan setugas, takut nanti pula dikatakan sombong, tidak pandai bergaul, ‘kera sumbang’ dan antisosial. Inilah sebenarnya cabaran yang terpaksa dihadapi dan berusaha menyesuaikan diri dalam keadaan memerlukan kebijaksanaan fikiran dan kekuatan iman.

Nabi pernah bersabda: “Diam itu adalah suatu hukum dan sedikitlah (orang) yang melaksanakannya.” (Hadis riwayat Abu Mansur ad-Dailami). Jelas sekali bahawa diam atau mengelak diri daripada memperkatakan perkataan buruk adalah suatu hukum atau perintah yang amat dituntut.

Tidak dinafikan kadang kala perkataan diucapkan tidak melambangkan maksud sebenar yang hendak diucapkan. Jadi, sekiranya terkeluar perkataan tidak baik, cepat-cepat bertaubat dan mengaku kesalahan diri. Adalah mulia orang yang mengaku kesalahan dan ikhlas menarik balik keterlanjuran kata-katanya.

Sombong pisahkan Muslim daripada syurga


RASULULLAH tidak pernah ketinggalan memberi peringatan kepada umatnya betapa buruk dan kejinya sifat sombong dan takbur dalam kehidupan ummah sejagat.

Sabda Baginda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya mempunyai sifat sombong walaupun sebesar biji sawi.” (Riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Baginda pernah bersabda bermaksud: “Manusia yang jahat ialah manusia yang sombong, keras kepala dan melampaui batas. Orang yang sombong dan keras kepala itu lupa kepada Yang Maha Perkasa lagi Maha Tinggi.

“Manusia yang jahat itulah manusia yang keras kepala dan yang sombong. Dia lupa kepada Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi. Manusia yang jahat ialah manusia yang lalai dan lupa.

“Dia lupa kepada kubur dan kehancuran tubuh dalamnya. Amatlah jahat manusia yang sombong dan melampaui batas. Dia lupa kepada permulaan dan kesudahan.” (Riwayat Tirmizi).

Sifat sombong adalah akhlak keji yang menjadi dinding pemisah antara seseorang itu dengan syurga. Sedangkan pintu syurga hanya boleh dibuka dengan anak kunci akhlak yang mulia lagi terpuji.

Antara sebab seseorang itu bersifat sombong dan angkuh kerana memiliki kekuasaan yang tidak terbatas.

Pemimpin sombong akan berusaha mempertahankan kekuasaannya dengan apa cara sekalipun, sama ada dengan memfitnah, mengadu domba dan mengusir, bahkan membunuh setiap orang yang dianggapnya akan mengganggu-gugat kekuasaannya.

Seorang pemimpin sombong sebagaimana dirakamkan al-Quran ialah Firaun. Dia seorang pemimpin zalim, yang memiliki kekuasaan yang tiada terbatas, dapat menguasai secara fizikal atau mental sehingga rakyat memberikan sokongan membabi buta kepadanya.

Akhirnya, Firaun dengan kesombongannya berani mendakwa dan mengaku dirinya Tuhan kepada rakyat bawahannya.

Selain itu, harta benda melimpah ruah kurniaan Allah antara yang menyebabkan seseorang itu bersifat sombong dan takbur.

Harta benda yang banyak inilah yang menyebabkan Qarun lupa diri, lalu bersifat sombong dan takbur hingga mendakwa bahawa harta itu diperoleh melalui usahanya sendirinya.

Akhirnya, Qarun dibinasakan Allah bersama harta kekayaannya sebagaimana kisahnya yang dirakamkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanya disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami bahawa Allah membinasakan sebelumnya daripada umat terdahulu, orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan. Dan ingatlah orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya mengenai dosa mereka (kerana Allah sedia mengetahuinya).” (Surah al-Qasas, ayat 78).

Sifat takbur yang paling buruk ialah apabila seseorang itu tidak mengamalkan ilmu yang dipelajarinya sama ada ilmu agama atau pengetahuan keduniaan yang memberi manfaat.

Oleh kerana ilmu pengetahuan itu adalah hak atau kebenaran, maka orang yang tidak mahu tunduk dan menerima kebenaran itu dengan sendirinya menentang Allah.

Ini kerana kesombongan seseorang itulah yang menghalangnya daripada menerima hidayah Ilahi dan kebenaran al-Quran. Ini sebagaimana berlaku kepada masyarakat Quraish Makkah yang menolak kebenaran dakwah Rasulullah.

Sifat takbur bukan hanya menyerang orang berilmu, bahkan mereka yang banyak amal ibadatnya. Orang beribadat dengan tujuan menarik perhatian orang sekelilingnya dan memikirkan ia satu kelebihan bagi dirinya berbanding orang lain.

Malah, dia juga sering terbawa-bawa dengan kesombongannya apabila beranggapan bahawa semua manusia rosak agamanya dan sesat, hanya dia terselamat dan berpegang teguh dengan agamanya.

Wednesday, January 2, 2013

Bangun dan Sujud pada Tengah Malam

Bangun dan sujud pada tengah malam adalah amalan Rasulullah serta para sahabat.

Saidina Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh.

Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan. Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak.

Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau berkata, kepada anaknya Abdullah bin Umar: "Letakkan pipiku di atas tanah." Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: "Wahai ayah, bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?" Umar berkata lagi: "Aku tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku tidak merahmati aku!"

Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya.

Rasulullah SAW suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa sambil bergurau.

Baginda SAW bersabda maksudnya: "Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa."

Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya.

a) Dia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli syurga?

Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri?

Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada

Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan- Nya.


b) Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur.

Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan? Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit.

Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.

Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihan seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?

Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini.

Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal salih di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi?


c) Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya lembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan zikrullah juga istighfar.

Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi

ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan

zikrullah. ,_._,___

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...