Firman Allah Taala Yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya
mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya."
(Surah Al-A'raf: ayat 34)

Sunday, September 11, 2011

Syariat, Tarekat, Hakikat, Makrifat

Islam adalah iman , ilmu dan amal .Iman adalah persoalan aqidah atau ketuhanan.Ilmu dan amal pula, ada yang berbentuk lahiriah dan ada yang berbentuk batiniah atau rohaniah.
Bertolak dari aqidah, maka timbullah keperluan untuk beribadah sama ada ibadah lahir mahupun ibadah batin. Setelah Tuhan dikenali,dicintai dan ditakuti, maka akan terdoronglah kita untuk menyembah danmengagungkan- Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Akan
terdoronglah kita untuk melaksanakan segala suruhan dan meninggalkansegala larangan-Nya. Akan terdoronglah kita untuk patuh dan taat kepada-Nya. Akan terdoronglah kita untuk berjuang dan berkorban kerana-Nya.

Ilmu lahiriah ialah ilmu feqah yang bersangkut paut dengan amalan lahir. Ilmu batiniah atau rohaniah pula ialah ilmu tasawuf yang bersangkut paut dengan amalan hati. Amalan sama ada yang lahir atau
yang batin mestilah didorong oleh aqidah. Ia mesti didorong oleh rasa cinta dan takut kepada Allah . Barulah amalan itu akan bermakna dan akan mempunyai erti dan maksud yang betul. Amalan adalah jalan, kaedah atau cara untuk membukti dan merealisasikan rasa cinta dan rasa takut
kita kepada Allah.

Bila Allah sudah dikenali, barulah kita betul-betul boleh mempraktikkan atau melaksanakan agama. Barulah Allah itu menjadi matlamat dan tumpuan ibadah dan pengabdian kita. Barulah amalan kita
itu ada tempat tujunya. Barulah akan terjalin dan tercetus hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Dalam beragama, kenal Allah itu perkara pokok yang mesti didahulukan. Selepas itu baru timbul soal amalan. Ini sesuai dengan hadis yang bermaksud : "Awal-awal agama mengenal Allah"

Amalan agama yang tidak didahului oleh rasa cinta dan rasa takut kepada Allah sudah tentu tidak akan membawa kita kepada-Nya. Sudah pasti ia didorong oleh perkara-perkara dan kerana-kerana yang lain. Mungkin kerana mahukan Syurga. Mungkin kerana takutkan Neraka. Mungkin kerana mahukan pahala dan fadhilat. Walaupun tujuan-tujuan ini tidak salah kerana ianya sebahagian dari janji-janji Tuhan, tetapi maqamnya terlalu rendah. Justeru itu hasil dan manfaat dari ibadah seperti ini
juga adalah rendah.

Ibadah yang didorong oleh perkara-perkara seperti ini, walaupun banyak, tidak akan dapat mengubah akhlak dan peribadi kita. Ia tidak akan menimbulkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan di dalam hati kita. Kerana itu, ia tidak akan mampu menyuburkan sifat-sifat mahmudah dan membakar sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita. Ini kerana Tuhan tidak dilibatkan dan tidak dijadikan matlamat dalam ibadah kita. Kalau Tuhan tidak dilibatkan, maka hati akan kurang berperanan kerana
hati itu wakil Tuhan. Ibadah yang tidak ada Tuhan ini sudah tentu tidak ada rohnya, tidak ada rasanya dan tidak ada khusyuknya. Bila hati tidak berperanan, maka tidak akan ada penghayatan dan penjiwaan dalam ibadah.

Tambahan pada itu ibadah kerana hendakkan Syurga, pahala dan fadhilat dan kerana takutkan Neraka ini ada risikonya. Disebabkan Tuhan dan hati tidak dilibatkan sama dalam ibadah seperti ini, maka ibadah ini tidak ada kekuatannya. Lama kelamaan, ia akan dicelahi dengan rasa bosan dan jemu. Sukar hendak diistiqamahkan. Ia juga mudah dihinggapi penyakit riyak, ujub dan sum'ah. Ini semua akan memusnahkan pahala  ibadah. Lebih-lebih lagilah kalau tujuan dan niat ibadah itu adalah
untuk dipuji, untuk disanjung, untuk mendapat nama dan glamour, untuk menunjuk-nunjuk dan kerana sebab-sebab lain yang berbentuk duniawi. Sudah tentulah ia tidak ada nilai apa-apa. Malahan ibadah seperti ini akan Allah lemparkan semula ke muka pengamalnya berserta dengan laknat-Nya sekali. Ibadah seperti ini tidak akan mendekatkan seseorang itu dengan Allah. Malahan dia akan bertambah jauh dari Allah. Dia berbuat maksiat dan kemungkaran dalam ibadahnya. Lagi banyak dia
beribadah, lagi dia rasa sombong, angkuh, riyak, ujub, rasa diri mulia, rasa diri baik dan sebagainya. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia pandang orang lain hina, jahat dan tidak berguna.

Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada urutan dan susunannya. Ada "progression" nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia bermula dengan Syariat , kemudian dengan Tariqat , diikuti pula dengan hakikat dan diakhiri dengan Makrifat .

Syariat.
Ini adalah ilmu sama ada ilmu bagi amalan, lahir (feqah) atau ilmu bagi amalan hati (tasawuf). Ini adalah langkah pertama dalam tertib beramal. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan, hukum-hakam, halal haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa ilmu, kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut sesuka hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak terima, kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam, kita mesti belajar. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat biji benih.

Tariqat .

Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan sama ada amalan lahir mahupun amalan hati secara istiqamah dan bersungguh-sungguh. Ilmu (syariat) yang ada perlu dilaksanakan. Ini dinamakan juga tariqat wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan sesetengah pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih tadi (syariat) hingga ia bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun.

Hakikat.

Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita amalkan syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup
syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah. Buah tariqat adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu atau pencapaian maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar , maqam redha , maqam tawakkal , maqam tawadhuk , maqam syukur dan berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja (sebiji buah sahaja) atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam yang berbeza dari satu pokok yang sama. Hakikat adalah perubahan jiwa atau perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat dengan faham dan dihayati.

Makrifat .

Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang dapat dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan rahsia-rahsia- Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al Arifbillah .

Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini bermula dari yang lahir dan berakhir dengan yang batin. Syariat dan tariqat itu terletak dalam kawasan lahir. Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke dalam hati dan rohani. Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah dicapai kerana ia hanya melibatkan usaha lahir.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...