Firman Allah Taala Yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya
mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya."
(Surah Al-A'raf: ayat 34)

Thursday, August 25, 2011

Lazat Dunia Azab Alam Barzakh

SEKARANG ini sesekali saya duduk-duduk bersama-sama orang tasawuf, orang tarikat. Suatu hari terkesan saya dengan pandangan ini: “Semakin meningkat usia kita (terutama yang sudah memasuki usia tua, mulai 50 tahun) kurangkan beban memburu dunia sebaliknya meningkatkan amalan untuk ke alam sana.”

Teringat saya kata-kata hikmat yang ditulis oleh seorang ahli pondok: “Walau banyak mana pun harta yang kamu kumpulkan di muka bumi ini, suatu hari nanti akan musnah jua hartamu itu hinggalah kamu masuk ke perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah melakukan maksiat di muka bumi ini, maka suatu hari nanti kamu tetap akan diazab dalam perut bumi.”

Beliau melanjutkan dengan berkata: “Walau bagaimanpun kamu berlagak dan bertakabur di atas muka bumi ini, suatu hari nanti kamu tetap akan dihina dalam perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah dengan memakan dan minum minuman haram, suatu hari nanti tubuhmu tetap akan menjadi makanan ulat.”

Ya, sesungguhnya jarak masa kehidupan sekarang ini (berada di atas bumi) dengan berada di bawahnya (memasuki kubur) tersangat dekat, tetapi kebanyakan orang tidak mempedulikannya, mereka dibuai kelekaan untuk memperbanyak habuan dunia seperti harta benda, pangkat dan kuasa. Dalam mengejar impian ini, mereka tidak peduli sama ada perlu memijak kawan dan juga lawan malah sehingga sanggup menikam kawan dari belakang termasuklah melakukan fitnah. Hal inilah yang berleluasa sekarang ini.

Seorang bijak pandai pula mengandaikan perjalanan kehidupan ini bagaikan kembara ke puncak gunung. Di kaki gunung (sebelum memulakan pendakian), tentulah beban kita banyak (misalnya makanan, minuman dan pelbagai peralatan) tetapi semakin tinggi dakian kita, bebanan semakin berkurangan kerana sebahagian makanan sudah dihabiskan sehinggalah sampai ke puncak gunung beban dipikul hampir habis; tetapi hal sebaliknya berlaku kepada sebahagian besar manusia.

Selain memikul bebanan yang berat, mereka mengutip sisa-sisa di sepanjang laluan menjadikan perjalanan mereka semakin lama semakin sukar. Mereka sendiri menggalas beban yang tidak diperlukan malah ada yang memikul peti sejuk untuk ke puncak gunung yang bersalji. Cuba kita teliti kehidupan kita, apakah kita sudah rasa memadai dengan apa yang kita ada? Malah ada hadis yang menyebut jika kita ada dua buah lembah emas, kita rasa itu tidak memadai, kita mahu lembah ketiga dan seterusnya.

Demikianlah perjalanan kehidupan yang meletihkan. Peluang hidup disia-siakan, dihabiskan semata-mata bagi mengumpul harta, dinar dan emas perak yang semuanya tidak laku apabila sampai di puncak gunung nanti (matilah).

Apabila emas, perak, pangkat dan kuasa menjadi buruan, berleluasalah gejala sosial yang maha hebat sekarang ini. Masyarakat sudah teruk, bahana keruntuhan institusi keluarga sudah dirasai dengan meningkatnya kes bunuh, bunuh diri, penderaan, zina, pembuangan bayi dan aneka maksiat lain.

Itulah kawan fikir saya pada majlis tasawuf berkenaan berkata, semakin meningkatnya usia kita yang menghampiri kematian, kurangkanlah sedikit demi sedikit kelazatan dunia sebaliknya tingkatkan amalan ke alam sana sehingga apabila hampir ‘yakin’ (mati), dunia dapat kita tinggalkan dengan reda dengan keberuntungan akhirat seolah-olah sudah memanggil-manggil kita!

Sumber klik

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...